My Add

Tuesday 2 October 2012

Usaha proaktif galak wanita kembali ke pasaran kerja: Najib

KUALA LUMPUR, SELASA, 02 Oktober, 2012:: Pelbagai usaha akan terus dilaksana untuk membolehkan lebih ramai golongan wanita kembali ke pasaran kerja di negara ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, walaupun lebih 60 peratus penuntut universiti di negara ini adalah wanita, jumlah itu tidak dicerminkan dalam pasaran kerja dan itu merupakan satu kerugian kepada negara. 

Perdana menteri berkata, hanya 46 peratus tenaga kerja dalam pasaran pada masa kini adalah wanita kerana kebanyakan mereka memilih untuk memberi fokus kepada pengurusan rumah tangga.

"Rugi wanita kita belanja besar hantar belajar tinggi-tinggi di universiti tetapi lepas itu berhenti kerja," katanya pada majlis sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2012 yang bertemakan 'Wanita Pencetus Ekonomi Baru' di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Heng Saei Kie; isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Perdana Menteri berkata, Belanjawan 2013 yang dibentang Jumaat lepas adalah mesra wanita dan ia menggariskan pelbagai insentif untuk manfaat golongan itu.

Beliau berkata, ia juga bagi membantu golongan wanita mengimbangi peranan tri-fungsi mereka, iaitu sebagai ibu, isteri dan pekerja. 

Najib berkata, antara usaha kerajaan itu ialah menggalakkan penubuhan lebih banyak taska di tempat kerja melalui insentif potongan cukai dan peruntukan.

"Dalam hal ini, KSN (Ketua Setiausaha Negara) pun boleh membantu dalam memastikan supaya setiap kementerian dan jabatan kerajaan mesti ada taska masing-masing," katanya.

Beliau berkata, projek perintis taska untuk kanak-kanak berlainan upaya juga akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Najib yang memangku jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata dalam soal memperjuang dan memartabatkan hak wanita, Malaysia terbukti lebih maju daripada kebanyakan negara, termasuk negara maju.

Mengambil contoh hak mengundi, katanya di sesetengah negara, wanita tidak diberi hak sama rata dengan lelaki, tetapi di Malaysia, sejak awal wanita bukan sahaja terlibat dalam perjuangan kemerdekaan, tetapi juga mempunyai hak mengundi yang sama dengan lelaki.

Justeru, katanya, bergerak ke hadapan, kerajaan akan terus melaksanakan program dan latihan untuk memperkasa kaum wanita.

Najib berkata, kerajaan juga ingin melatih lebih ramai wanita untuk menjadi 'pembuat keputusan' di peringkat lembaga pengarah syarikat.

Setakat ini, katanya, 200 wanita telah dilatih untuk menggalas jawatan penting itu melalui satu program usahasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan Akademi Pengarah Malaysia. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment