My Add

Thursday 18 October 2012

Wisma Putra-UK runding insiden Batang Kali 1948

KUALA LUMPUR, RABU, 17 Oktober, 2012: Kerajaan melalui Wisma Putra akan berusaha mencari jalan untuk berunding dengan kerajaan Britain berhubung isu pembunuhan beramai-ramai di Batang Kali lebih 60 tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, usaha mendapatkan keadilan perlu dilakukan, walaupun insiden itu berlaku pada 1948.

"Saya akan berunding dengan rakan-rakan saya dan melihat apa yang boleh Wisma Putra bantu dan saya akan merujuk Peguam Negara berhubung isu perundangan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini selepas menandatangani poskad bagi satu kempen untuk menuntut permohonan maaf daripada kerajaan Britain berhubung peranan mereka dalam insiden Disember 1948.

Kempen itu dilancarkan pada Isnin oleh Jawatankuasa Bertindak Mengutuk Pembunuhan Beramai-ramai di Batang Kali yang mewakili keluarga-keluarga mangsa dalam bentuk poskad, yang akan dihantar kepada Perdana Menteri Britain bagi memastikan kerajaan Britain bertanggungjawab dengan insiden itu.

Bulan lepas, kerajaan Britain menegaskan bahawa siasatan awam berhubung pembunuhan 24 orang awam Batang Kali lebih 60 tahun lalu tidak akan dapat mencapai sebarang kesimpulan munasabah memandangkan jarak masa yang telah lama berlalu.

Menurut akhbar harian Britain, The Guardian, Mahkamah Tinggi memutuskan perkara itu selepas satu pendengaran pada Mei di London dan beberapa hakim yang bersidang meyimpulkan bahawa keputusan kerajaan itu adalah 'bukan tidak munasabah'.

Pembunuhan besar-besaran Batang Kali berlaku pada 12 Disember 1948 semasa operasi tentera British menentang pengganas komunis selepas tamat Perang Dunia II.

Dikatakan pasukan Seventh Platoon dari G Company, 2nd Scots Guards, mengepung sebuah ladang getah di Sungai Rimoh dan menembak 24 penduduk kampung sebelum membakar kampung itu.

Pada Januari 2009, Pejabat Hal Ehwal Luar Britain menolak gesaan supaya diadakan siasatan tetapi tiga bulan kemudian, kerajaan dilaporkan menimbang semula keputusan itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment