My Add

Thursday 18 October 2012

NFCorp mahu AG berlaku adil

 SHAH ALAM, RABU, 17 Oktober, 2012: National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) mahu Peguam Negara bertindak adil dan tidak terpengaruh dengan hujah-hujah politik pembangkang dalam isu berkaitan dengan projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

Selain itu, NFCorp juga mahu siasatan berkaitan syarikat dan projek berkenaan dijalankan berdasarkan fakta-fakta yang telah diusulkan oleh Ketua Audit Negara dalam laporannya.

Isu itu timbul susulan pandangan Ketua Audit Negara dalam laporannya yang dikeluarkan tahun lalu.

"Kami menggesa Peguam Negara untuk bertindak adil dan tidak terpengaruh dengan hujah-hujah politik pembangkang, serta menjalankan penyiasatan berdasarkan fakta-fakta yang telah diusulkan oleh Ketua Audit Negara di dalam Laporan 2010 beliau," kata Pengerusi Ekekutifnya, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Ismail dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, dipetik Sinar Harian

Salleh berkata, pihaknya merujuk kepada liputan media ekoran daripada Laporan Ketua Audit Negara 2011 berkaitan NFCorp.

Laporan Audit tersebut telah menyatakan bahawa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Kewangan dan Jabatan Peguam Negara sedang mengkaji kemungkinan untuk mengambil tindakan sivil terhadap NFCorp.

Sehubungan itu kata beliau, NFCorp ingin menjelaskan bahawa dakwaan perlanggaran oleh NFCorp, yang didakwa wujud, perlu dikaji secara menyeluruh untuk keadilan bagi semua pihak.

Salleh menambah, Peguam Negara perlu menjalankan siasatan terhadap perlanggaran pertama yang dilakukan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani selepas penangguhan dilakukan terhadap pembinaan Pusat Penyembelihan Berkualiti Eksport, yang mampu menyembelih sebanyak 350 ekor lembu sehari.

"Penangguhan ini telah memberi impak terhadap jumlah pengeluaran daging lembu, penangguhan terhadap pembinaan kemudahan-kemudahan berkaitan seperti kilang makanan ternakan dan loji bio gas serta penangguhan terhadap Entrepreneur Development Programme (EDP) – di mana semuanya amat bergantung kepada EQA," katanya lagi.

Laporan Ketua Audit Negara 2011 yang dikeluarkan kelmarin menyatakan beberapa langkah yang dipertimbangkan oleh Kerajaan Persekutuan terhadap NFCorp berikutan kegagalannya memenuhi syarat perjanjian yang ditandatangani dan prestasi projek yang tidak dicapai.

Salah satu langkah yang dipertimbangkan adalah mengambil tindakan undang-undang sivil.

Mengulas perkara itu semalam, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, keputusan Kerajaan Persekutuan yang mahu mengambil tindakan sivil ke atas NFCorp tidak "mencukupi."

Sebaliknya tegas Rafizi, Kerajaan Pusat perlu mendapatkan kembali dana RM250 juta yang disalurkan bagi membiayai projek NFC.

“Apabila kerajaan mengambil keputusan untuk mengenakan tindakan sivil terhadap NFCorp, sedang NFCorp adalah sebuah syarikat yang mengalami kerugian dan tiada harta, kerana semua wang itu telah dipindahkan ke syarikat lain,” katanya.

Rafizi mendesak kerajaan supaya menguna pakai Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLA) bagi merampas dan membekukan segala harta yang diperolehi keluarga bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil, yang memiliki NFCorp.
 

No comments:

Post a Comment