My Add

Wednesday 3 October 2012

Yang di-Pertuan Agong diberi sambutan penuh istiadat di Istana Maharaja

TOKYO, RABU, 03 Oktober, 2012: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah diberi sambutan penuh adat istiadat di Istana Maharaja di sini pada Rabu.

Keberangkatan tiba baginda dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah, disambut Maharaja Jepun Akihito dan Maharani Michiko serta Putera Mahkota Naruhito dan Putera serta Puteri Akishino. 

Baginda berdua berangkat tiba di Tokyo pada Isnin untuk melakukan lawatan negara lima hari ke Jepun.

Anggota kerabat diraja Jepun, Perdana Menteri Yoshihiko Noda dan isteri Hitomi Noda diperkenalkan kepada baginda berdua.

Pada majlis berkenaan, lagu kebangsaan kedua-dua negara, 'Negaraku' dan 'Kimigayo', dimainkan pasukan pancaragam Pasukan Bela Diri Jepun.

Selepas itu, Tuanku Abdul Halim menerima tabik hormat daripada Perbarisan Kehormatan yang terdiri daripada 132 anggota Pasukan Bela Diri Darat Jepun.

Ketika Tuanku Abdul Halim memeriksa perbarisan kehormatan, kira-kira 120 kanak-kanak dari Sekolah Rendah Gakushuin mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Jepun, 'Hinomaru'.
Ahli Kabinet Jepun juga diperkenalkan kepada rombongan diraja dari Malaysia.

Selepas acara sambutan itu, Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah melakukan kunjungan negara terhadap Maharaja Akihito dan Maharani Michiko di Kamar Bambu (Take-no-Ma) di Istana Maharaja.

Satu majlis santapan diraja bagi meraikan pasangan diraja dari Malaysia ini akan diadakan di istana berkenaan malam ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment