My Add

Sunday 14 October 2012

Zahid: Peranan IMT dikaji semula


 Dr Ahmad Zahid Hamidi
MANILA, AHAD, 14 Oktober, 2012: Peranan Pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT) yang ditugaskan kerajaan Filipina bagi memastikan gencatan senjata dipatuhi oleh tentera Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), akan dikaji semula.

Bagaimanapun, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu bergantung kepada perbincangan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Filipina Benigno Aquino III di sini esok.

Najib tiba di sini hari ini bagi lawatan rasmi tiga hari, antara lain menyaksikan majlis menandatangani Rangka Kerja Perjanjian Damai antara kerajaan Filipina dan MILF, di sini esok.

"IMT yang sedia ada mungkin mempunyai peranan berbeza berbanding peranan terdahulu. Kita juga fikirkan harus ada satu lagi tahap pemantauan dilakukan bukan menggunakan pasukan tentera tapi menggunakan badan diplomatik untuk tentukan butiran perjanjian dipatuhi sepenuhnya," katanya kepada wartawan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata Kuala Lumpur berharap keamanan yang akan diwujudkan di Mindanao akan berkekalan dan pembangunan sosio-ekonomi dapat dipertingkatkan berikutan rangka kerja perjanjian damai ini.

Ahmad Zahid berkata peranan IMT dikaji semula kerana ia tidak lagi melibatkan soal gencatan senjata di kawasan itu tapi untuk memastikan butiran perjanjian dilaksanakan.

Pasukan pemantauan itu telah melaksanakan misi keamanan bermula 10 Sept 2004 bagi menyokong rundingan damai kerajaan Filipina dan MILF dan meneruskan momentum bagi resolusi penyelesaian konflik di Mindanao.

Selain Malaysia, pasukan IMT turut disertai oleh Brunei, Indonesia, Jepun, England dan Norway. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment