My Add

Sunday 14 October 2012

SafeCam akan diperluas secara berperingkat

JOHOR BAHRU, AHAD, 14 Oktober, 2012: Program Safe Camera (SafeCam) Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang dijalankan untuk mempertingkat tahap keselamatan awam dan mengurangkan kadar jenayah, akan diperluas secara berperingkat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, bagaimanapun, pihaknya akan melihat keberkesanan program itu terlebih dahulu sebelum memperluaskannya, namun tidak memberi sebarang tempoh masa untuk berbuat demikian.

"Buat masa ini, ia dilaksanakan di kawasan Iskandar Malaysia (Johor Selatan) dan kita akan lihat keberkesanannya dahulu sebelum diperluas ke negeri lain,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) SafeCam PDRM dan Penyerahan Geran Persatuan Penduduk Johor Selatan hari ini.

Menerusi program ini, syarikat swasta, agensi kerajaan atau orang ramai yang mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) di premis mereka boleh menjadi anggota SafeCam PDRM dengan mendaftarkan CCTV mereka dengan pihak polis. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment