My Add

Sunday 4 November 2012

150 penghuni kuarters IPD Gombak dibenarkan pulang

KUALA LUMPUR, AHAD, 04 November, 2012: Kira-kira 150 penghuni Blok F1 kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak dibenarkan kembali ke rumah masing-masing awal pagi ini selepas Jabatan Kerja Raya mengesahkan ia selamat untuk diduduki.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superitendan Rosly Hassan berkata, hasil siasatan pihak bomba juga mendapati sehingga pagi tadi tiada sebarang pergerakan tanah berlaku.

"Kira-kira jam 2 pagi tadi, kesemua penghuni yang dipindahkan sementara di dewan berhampiran dibenarkan pulang ke rumah mereka selepas kawasan kejadian ditutup dengan kanvas dan kerja pembersihan dijangka bermula esok," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Dalam kejadian tanah runtuh jam 6.00 petang semalam, kira-kira 150 penghuni membabitkan 32 buah keluarga anggota polis di Blok F1 kuarters berkenaan terpaksa berpindah selepas berlaku kejadian tanah runtuh di kawasan cerun kira-kira dua meter dari kediaman mereka.

Rosly berkata, pemantauan juga dibuat 24 jam melalui bilik pemantauan yang dekat dengan kuarters berkenaan.

Beliau berkata, setakat ini Dewan IPD Gombak menjadi pusat pemindahan sementara sekiranya berlaku sebarang kecemasan memandangkan tiada blok kosong ketika ini.

Sementara itu, Pengerusi Biro Ekonomi Dan Pembangunan Usahawan Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, tindakan segera perlu diambil oleh JKR bagi memastikan keselamatan penghuni di kawasan itu. 

Katanya, anggota yang bertugas serta penghuni yang dibenarkan memasuki semula rumah masing-masing dinasihatkan supaya mengikut setiap arahan yang dikeluarkan dan sentiasa berjaga-jaga.

Salah seorang penghuni Faridah Anum Din, 48, meluahkan perasaan bimbang meskipun blok dilaporkan selamat untuk didiami.

"Saya masih takut untuk pulang ke rumah tetapi sebab nak jalankan aktiviti rutin dan nak mengemas rumah, saya beranikan diri saja dan mula memasuki rumah pada 7.00 pagi tadi," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment