My Add

Thursday 8 November 2012

2 lelaki warga India dipenjara miliki ketamin di KLIA

*TERTUDUH, Firthous Maideen Abdul Karim, 45, (kanan) dan Nazeer Hussain Sahabdeen dibawa anggota polis di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini. - Foto Adib Rawi Yahya

SHAH ALAM, RABU, 07 November, 2012: Dua lelaki warga India masing-masing dijatuhi hukuman penjara lima dan empat tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki dadah jenis ketamin yang disorok di dalam bagasi, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Akhtar Tahir memerintahkan tertuduh, Firthous Maideen Abdul Karim, 45, menjalani hukuman penjara lima tahun sementara Nazeer Hussain Sahabdeen, 32, dijatuhi hukuman penjara empat tahun selepas mereka mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan.

Hukuman penjara bagi kedua-dua tertuduh diperintah berkuatkuasa dari tarikh mereka ditangkap iaitu pada hari kejadian, 25 Mei 2010.

Firthous didakwa memiliki 3,896 gram ketamin di mesin pengimbas kastam di paras 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kira-kira jam 9.05 pagi, sementara Nazeer didakwa memiliki 4,025 gram ketamin di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Firthous dan Nazeer sebelum ini menghadapi tuduhan mengedar mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bagaimanapun bernasib baik selepas pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Yong Leou Shin menawarkan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 12(2) akta sama. 

Terdahulu, peguam Salim Bashir yang mewakili Firthous memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan ke atas anak guamnya atas alasan tertuduh menghidap sakit buah pinggang dan mempunyai isteri serta tiga orang anak di Tamil Nadu, India.

Beliau berkata, tertuduh telah membawa dadah itu ke negara ini bagi mendapatkan wang untuk kos pembedahan buah pinggangnya di India.

Peguam A.G Kalidas yang mewakili Nazeer pula berkata, anak guamnya melakukan kesalahan itu bagi mendapatkan wang untuk membantu perniagaan kedai menjual beg milik bapanya yang terpaksa ditutup kerana masalah kewangan.

"Tertuduh berkawan dengan Firthous dan ada orang lain yang beritahu anak guam saya jika dia bawa dadah ini ke Malaysia mereka akan bayar 10,000 rupiah. Tertuduh tidak tahu keseriusan kesalahan ini kerana dia pertama kali melakukannya," katanya.

Yong pula berkata, kedua-dua tertuduh mendapat diskaun terbesar kerana terlepas daripada hukuman mati dan mahkamah seharusnya mengambil kira bahawa kes membabitkan warga asing membawa masuk dadah ke Malaysia semakin kerap berlaku.

"Fakta kes juga menunjukkan taktik digunakan kedua-dua tertuduh iaitu dengan begitu bersahaja membawa beg besar dan makanan ringan untuk menyorokkan dadah.

"Justeru mereka tidak harus diberi hukuman ringan dan hukuman yang dijatuhkan juga perlu berbentuk pengajaran supaya orang lain tidak melakukan kesalahan yang sama," katanya.

Dua lelaki mengaku tidak bersalah lupus keterangan berhubung mayat bayi

Di KANGAR:,: Dua lelaki dihadapkan ke mahkamah majistret di sini hari ini atas tuduhan melupuskan keterangan berhubung kes penemuan mayat seorang bayi perempuan di sebatang tali air di Kampung Bohor Rotan Pahit, dekat sini bulan lalu.

Kedua-dua tertuduh yang masing-masing berusia 18 tahun, Khairil Amri Che Ani dari Kampung Padang Benta dan Mohamad Affendi Azmi dari Kampung Bukit Papan, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan majistret Zuhair Rosli.

Pertuduhan mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda.

Mereka dituduh secara bersama melakukan kesalahan itu di atas titi simen, Kampung Bohor Rotan Pahit pada 24 Oktober 2012 jam 8.30 malam sehingga 9.30 malam bagi melupuskan keterangan kesalahan itu yang bertujuan mengelak hukuman undang-undang terhadap seorang remaja perempuan.

Pendakwaan dilakukan oleh Ketua Unit Pendakwaan Perlis Azhar Mokhtar manakala kedua-dua tertuduh diwakili Zuhair Ahmad Zakuan.

Azhar memohon supaya kedua-dua tertuduh dikenakan ikat jamin RM3,000 setiap seorang berserta penjamin namun majistret Zuhair Rosli membenarkan permohonan peguam kedua-dua tertuduh dengan mengarahkan mereka masing-masing dikenakan ikat jamin RM1,500 bersama seorang penjamin.

Zuhair menetapkan 6 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes itu.

Pada 24 Oktober lalu, mayat seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan ditemui di sebatang tali air di Kampung Bohor Rotan Pahit selepas polis menerima laporan Hospital Tuanku Fauziah mengenai seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang dirujuk ke hospital akibat pendarahan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment