My Add

Friday 2 November 2012

3 suspek kes cubaan bunuh Ketua Pemuda UMNO Kepong ditahan

SHAH ALAM, JUMAAT, 02 November, 2012: Polis menahan tiga lelaki berumur antara 22 dan 28 tahun secara berasingan di sekitar Lembah Klang semalam bagi membantu siasatan kes cubaan bunuh Ketua Pemuda UMNO Kepong, Datuk Norizan Ali, pada 24 September lepas.

Suspek pertama dan kedua yang bekerja sebagai penjaga kelab malam masing-masing diberkas di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Sentul Timur dan sebuah rumah flat di Ampang antara pukul 4.45 petang dan 6.40 petang semalam.

Hasil siasatan terhadap dua lelaki itu membawa kepada penahanan dalang utama kes berkenaan yang dikenali sebagai ”Wak”, seorang broker bebas berusia 28 tahun, di sebuah rumah di Taman Bidara, kira-kira jam 8.15 malam hari yang sama.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah dalam sidang media di sini hari ini berkata, polis percaya telah menyelesaikan kes tersebut ekoran penahanan tiga lelaki itu dan kertas siasatan kes berkenaan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

Beliau berkata, sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu dijumpai di dalam longkang berhampiran rumah suspek ketiga kira-kira jam 2.05 petang ini.

Tun Hisan berkata kejadian cubaan bunuh terhadap Norizan, 41, dipercayai bermotifkan dendam.

Kesemua suspek direman sehingga 8 November ini. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment