My Add

Monday 5 November 2012

4 penjenayah tegar dicekup

 *AHMAD bersama pegawai-pegawainya menunjukkan barang kes yang dirampas
 daripada empat lelaki pada sidang akhbar di Alor Setar semalam.
Oleh AHMAD SYAHIR KASSIM
ALOR SETAR, AHAD, 04 November, 2012: Polis melumpuhkan kegiatan satu kumpulan penjenayah berbahaya yang sering menggunakan senjata api apabila memberkas empat lelaki dalam operasi di sekitar Sungai Petani dekat sini Khamis lalu.

Suspek-suspek berusia antara 24 hingga 39 tahun yang disyaki terlibat dalam kegiatan ah long dan pembunuhan tersebut diberkas selepas polis menjalankan siasatan ke atas satu kes melepaskan tembakan di Lorong 2/28 Bandar Puteri Jaya pada pukul 2.30 pagi.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, semakan mendapati kesemua suspek terlibat dalam kes jenayah berat sejak 10 tahun lalu dan mempunyai sehingga 14 rekod jenayah lampau berkaitan samun dan curi.

Katanya, dalam kejadian itu, dua lelaki telah memecahkan pintu dengan menggunakan kayu besbol sebelum pemilik rumah bersama seorang rakannya menjerit.

“Salah seorang suspek kemudian telah melepaskan tiga das tembakan namun tersasar sebelum dua mangsa itu melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Honda Accord.

“Mereka kemudian dikejar oleh dua suspek berkenaan yang menaiki dua buah kereta BMW dan Proton Waja sebelum penjenayah melepaskan dua tembakan lagi namun tersasar,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Tambahnya, mangsa kemudian menuju ke Pondok Polis Puteri Jaya manakala suspek melarikan diri. Polis yang menjalankan siasatan kemudian dapat menahan pemandu Proton Waja berusia 39 tahun berkenaan di kawasan berhampiran tujuh jam kemudian.

Menurut Ahmad, pemeriksaan mendapati kereta itu dicuri di Sungai Petani pada 24 September lalu selain menemui sebilah pisau pemotong daging, dua tong petrol, satu botol gas serta jaket hitam.

“Soal siasat mendapati kejadian itu berpunca daripada ah long. Kira-kira satu jam kemudian, polis menahan seorang lelaki berusia 24 tahun dan merampas dua pucuk pistol angin berserta dua magazine,” katanya.

Ujar Ahmad, polis kemudian memberkas pemilik rumah berusia 36 tahun pada pukul 1.30 petang dan merampas sepucuk Revolver .38, enam butir peluru dan pedang samurai di sebuah rumah di SP Heights.

“Lelaki itu dikehendaki bagi satu kes mendatangkan cedera pada 2007. Polis kemudian menahan rakan pemilik rumah berkenaan yang berusia 36 tahun pada pukul 4 petang, Sabtu lalu,” katanya.

Kesemua yang ditahan mengenali antara satu sama lain.

Sehubungan itu, polis kini mencari seorang lelaki, Yeoh Choon Wah, 34, alamat terakhir di No. 21, Lorong Beringin 1, Taman Beringin, Sungai Petani bagi membantu siasatan.- Kosmo

No comments:

Post a Comment