My Add

Monday 12 November 2012

4 sindiket dadah tumpas di tangan Polis KL

KUALA LUMPUR, ISNIN, 12 November, 2012: Polis Kuala Lumpur percaya dapat melumpuhkan sindiket dadah jenis pil di sekitar Lembah Klang berikutan penahanan enam lelaki daripada empat sindiket dalam operasi bermula 2 November lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Supritendan Adnan Azizon berkata, dalam empat serbuan itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah seberat 11.16 kilogram yang dianggar bernilai RM837,600 dan dipercayai untuk jualan pasaran gelap di sekitar Lembah Klang.

Beliau berkata, pada 2 November lalu, polis menahan tiga lelaki berusia antara 28 dan 50 tahun di sekitar Jalan Conlay di sini kira-kira pukul 12.10 tengah malam.

"Dalam serbuan berasingan itu, polis menemui dua bungkusan dadah disyaki mengandungi syabu seberat 1.7 kilogram bernilai RM250,000,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, tiga hari kemudian, polis menahan seorang lelaki warganegara Indonesia yang berusia 38 tahun di sebuah bangunan terbiar di Jalan Ipoh di sini dan merampas dadah jenis heroin seberat 2.26 kilogram yang bernilai RM57,000.

Adnan berkata, pada 8 November lalu, polis menahan seorang lelaki berusia 27 tahun berhampiran Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Seri Alam, Jalan Sungai Besi pada pukul 9 malam dan merampas 3,390 biji dadah jenis Ectasy seberat 998 gram.

"Kita temui dadah itu disorokkan dalam sekotak makanan cereal dan ia dianggarkan bernilai RM135,600, katanya.

Pada operasi 8.20 malam keesokannya, polis menahan seorang pemandu teksi berusia 45 tahun di tempat letak kereta di belakang sebuah hotel di Jalan Ipoh.

"Polis menemui 19,750 biji pil dipercayai Eramin 5 seberat 5.3 kilogram yang bernilai RM359,000 di dalam beg plastik di dalam bonet teksinya,” katanya.

Beliau berkata, saringan ujian air kencing mendapati kesemua suspek itu positif dadah jenis methamphetamine dan mereka direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment