My Add

Wednesday 21 November 2012

Akar umbi Pas tidak mahu Anwar jadi PM

KUALA LUMPUR, SELASA, 20 November, 201: Sokongan pimpinan Pas di beberapa negeri terhadap cadangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilantik sebagai Perdana Menteri dianggap sebagai mesej tersirat akar umbi parti yang tidak mahu Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang jawatan itu sekiranya pakatan pembangkang menang Pilihan Raya Umum Ke-13.

Penganalisis politik, Prof. Madya Datuk Dr. Zainal Abidin Borhan berkata, perkembangan terkini itu meletakkan Anwar dalam keadaan serba salah memandangkan pakatan pembangkang sebelum ini bersetuju beliau adalah calon bagi jawatan tersebut.

Menurutnya, terdapat kemungkinan perwakilan Pas menyuarakan usul itu pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-58 di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini ekoran akar umbi parti hilang keyakinan terhadap kewibawaan Anwar sebagai pemimpin.

''Kita dapat menyaksikan perbezaan pendapat antara akar umbi Pas dan pucuk pimpinan pakatan pembangkang apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kenyataannya semalam menegaskan Anwar akan dilantik menjadi Perdana Menteri.

''Bagaimanapun, pemimpin akar umbi Pas menganggap Abdul Hadi lebih layak memegang jawatan itu berdasarkan imejnya sebagai seorang pemimpin Islam dan tidak dikaitkan dengan sebarang isu moral," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas sokongan pimpinan Pas di beberapa negeri terhadap hasrat perwakilan Pas sepanjang muktamar tahunan parti itu yang mencadangkan Abdul Hadi dilantik sebagai Perdana Menteri.

Pemimpin-pemimpin Pas terbabit adalah Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak, Norazli Musa; Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed dan Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Mohamad Taufek Abd. Ghani.

Berhubung pendirian Harakah yang dilihat agak keberatan menyokong cadangan itu, beliau tidak menolak kemungkinan lidah rasmi Pas itu akur kepada kehendak kumpulan Anwarinas di dalam parti.

''Kita berharap pihak editorial Harakah menyatakan pendirian mereka tentang cadangan Abdul Hadi dilantik sebagai Perdana Menteri dan bukannya sekadar menyiarkan laporan yang ditulis oleh wartawan," ujarnya.

Tambah beliau, kegagalan Harakah mengetengahkan suara akar umbi merupakan salah satu punca akhbar itu dikecam para perwakilan pada muktamar tahunan tersebut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment