My Add

Monday 26 November 2012

BN Pasir Gudang sedia hadapi PRU-13

JOHOR BAHRU, AHAD, 25 November, 2012: Barisan Nasional (BN) Pasir Gudang sudah bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada bila-bila masa.

Pengerusi BN Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, semua jentera parti di kawasan itu sudah bersedia dan berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi dalam memastikan kemenangan BN.

Menurutnya, jentera parti juga mampu menghadapi sebarang kemungkinan walaupun pilihan raya diadakan pada musim tengkujuh.

“Bagi Parlimen Pasir Gudang, kita sudah bersedia kerana pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila masa sebaik sahaja diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya yakin semua parti komponen sudah bersedia, kita tidak gentar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Komuniti 1Malaysia dan Majlis Khatan Perdana 2012 di Taman Rinting, di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk M. Munusamy dan Penghulu Mukim Kuala Masai, Roslan Wahab.

Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri bahawa PRU-13 boleh diadakan pada Disember ini walaupun negara dilanda musim tengkujuh.

Beliau juga yakin walaupun musim tengkujuh, jentera parti politik yang bertanding mampu menghadapi sebarang kemungkinan.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata, Parlimen Pasir Gudang kini tidak berdepan dengan masalah banjir besar seperti dihadapi beberapa kawasan di negeri itu sebelum ini.

Menurutnya, ia berikutan tindakan awal telah diambil di kawasan Parlimennya yang kerap dinaiki air seperti Plentong, Masai dan Pandan seperti mendalamkan sungai dan membetulkan sistem perparitan hasil peruntukan yang diberikan kerajaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment