My Add

Monday 26 November 2012

BN peka masalah rakyat

*AHMAD Bashah Md. Hanipah memperkatakan sesuatu kepada salah seorang pemilik skim rumah Keda, Minah Taib pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah di Alor Binjai, Alor Setar, Kedah, baru-baru ini.

Oleh JAMLIAH ABDULLAH
ALOR SETAR, AHAD, 25 November, 2012: Barisan Nasional (BN) Kedah komited membangunkan negeri jelapang padi menjadi sebuah negeri berpiawaian tinggi, berkelas dunia dan mempunyai infrastruktur terbaik.

Semua itu diperlihatkan menerusi usaha BN sejak zaman merdeka yang menumpukan kepada melengkapkan Kedah dengan kemudahan jalan raya, air dan elektrik yang merupakan keperluan asas dalam aspek pembangunan.

Pengerusi BN Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, boleh dikatakan hampir semua kawasan di negeri ini mendapat bekalan elektrik malah masalah di Pulau Tuba, Langkawi yang sering mengalami gangguan sebelum ini juga akan diatasi.

“Ini bukan sekadar janji kosong namun janji yang sentiasa ditepati oleh pemimpin BN. Penduduk Pulau Tuba mendapat khabar gembira itu hasil lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada bulan lepas.

“Dalam lawatan tersebut, Perdana Menteri mengumumkan pembinaan dua kabel elektrik dasar laut dengan kos RM45 juta bagi menyelesaikan masalah gangguan elektrik di pulau berkenaan," katanya di sini baru-baru ini.

Ahmad Bashah yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) berkata, BN juga tidak melupakan keperluan asas lain seperti air apabila hampir semua kampung di negeri ini menikmati air paip kecuali beberapa kawasan kerana masalah lokasi.

“Bagaimanapun dengan inisiatif Keda, kawasan tersebut dibantu dalam menyediakan bekalan air kepada masyarakat menerusi peruntukan agensi kerajaan Pusat," katanya.

Menurut beliau, kemudahan jalan raya di seluruh negeri ini juga berkembang pesat termasuk di kawasan kampung yang mempunyai jalan berturap.

Malahan kata beliau, dengan inisiatif Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) lebih banyak kawasan sudah diturap termasuk kawasan jalan ban di kawasan sawah padi.

“Kerajaan Pusat menerusi Kementerian Kerja Raya menyediakan peruntukan hampir RM140 juta pada tahun lepas bagi tujuan menyediakan jalan raya serta pembaikan jalan raya yang rosak.

“Penyediaan pelbagai kemudahan asas itu sekali gus menyenangkan kehidupan rakyat dan setelah perkara asas itu sudah dipenuhi kerajaan melihat pula ke arah meningkatkan pembangunan ekonomi supaya rakyat dapat menikmati tahap pendapatan yang semakin meningkat," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bakar Bata itu berkata, kerajaan BN turut membantu dari segi peningkatan tahap kualiti kehidupan rakyat terutama golongan miskin dengan menyediakan pelbagai program antaranya geran perniagaan, mewujudkan tapak perniagaan, menarik pelaburan dalam bidang industri, pertanian pelancongan dan sebagainya.

Selain itu, katanya, kerajaan juga menyediakan peruntukan besar setiap tahun bagi menyediakan rumah baru kepada rakyat yang miskin, memperbaiki rumah yang daif, memberi bantuan kepada anak-anak golongan miskin supaya mereka dapat meneruskan persekolahan.

“Keda turut terilbat dengan memperuntukan tidak kurang RM10 juta setiap tahun bagi membina dan memperbaiki rumah penduduk miskin yang sehingga kini kira-kira 400 keluarga.

“Walaupun Kedah ketika ini ditadbir oleh kerajaan pakatan pembangkang, kerajaan Persekutuan yang ditadbir BN tidak pernah meminggirkan rakyatnya malah sentiasa melihat keperluan rakyat Kedah dengan pertimbangan serius," tambah beliau.

Ahmad Bashah berkata, bagi rakyat negeri ini, mereka tidak mempunyai pilihan lain sekiranya ingin terus melihat Kedah maju melainkan memastikan bahawa pemerintahan kerajaan negeri dan Pusat adalah selari agar peruntukan pembangunan senang diselaraskan.

Kata beliau, BN Kedah mempunyai perancangan khusus bagi rakyat negeri ini jika mendapat mandat semula pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

“Beberapa perancangan telah dirangka dalam usaha melonjakkan pembangunan negeri seperti menyediakan infrstruktur yang dipertingkatkan dan menerokai bidang ekonomi yang boleh melonjakkan pembangunan negeri.

Bukan itu sahaja, belanjawan bagi mempertingkatkan tahap kualiti rakyat akan ditambah supaya rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih baik," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment