My Add

Tuesday 13 November 2012

Cadangan iktiraf Batu Caves satu lonjakan baru: Rais

KUALA LUMPUR, SELASA, 13 November, 2012: Cadangan menjadikan Batu Caves sebagai antara tapak warisan dunia mencerminkan satu lonjakan baru dalam mengiktiraf kawasan itu, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

"Ini sekali gus menunjukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) memberi pengiktirafan kepada Batu Caves sebagai pusat perayaan agama Hindu," katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Rumah Terbuka Deepavali anjuran MIC di pekarangan kompleks Batu Caves di sini, hari ini.

Katanya, cadangan itu juga menambah kepada usaha memelihara tapak warisan dalam negara yang dijalankan selama ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi BN ketika berucap pada majlis itu memberi jaminan untuk mempertahankan kawasan Batu Caves.

Langkah itu termasuk membatalkan projek pembangunan kondominium 29 tingkat di kawasan berkenaan jika BN berjaya menawan semula negeri Selangor pada pilihan raya umum akan datang di samping mahu mencadangkan kepada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) supaya Batu Caves dijadikan antara tapak warisan dunia.

Menurut Rais, kerajaan negeri Selangor seharusnya bersama-sama dengan kerajaan pusat dalam apa juga program pembangunan yang memberi kesan baik kepada rakyat serta negara, dan tidak tertumpu kepada kepentingan politik semata-mata.

Beliau turut mengucapkan Selamat Menyambut Deepavali kepada semua penganut Hindu di Malaysia.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment