My Add

Thursday 8 November 2012

China akan percepat strategi bina kawasan bebas dagang

BEIJING, KHAMIS, 08 November, 2012: China akan terus mempercepatkan pelaksanaan strategi membina kawasan perdagangan bebas dan menggalakkan infrastruktur menghubungkannya dengan negara jiran.

"Kami akan membuat perancangan keseluruhan bagi pembukaan dan kerjasama dua hala, pelbagai hala, serantau dan subwilayah," kata Presiden China dan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (CPC), Hu Jintao.

Katanya, China perlu melaksanakan strategi pembukaan yang proaktif dan meningkatkan ekonomi bagi menggalakkan saling mendapat manfaat.

"Kita perlu terus menyematkan juga pentingnya untuk mengeksport dan mengimport, menyelaraskan dengan lebih baik perdagangan dan dasar perindustrian bagi menjadikan eksport China lebih kompetitif di segi teknologi, jenama, kualiti dan perkhidmatan," katanya semasa pembukaan Kongres Nasional CPC ke-18 di sini, hari ini.

Sementara itu, Hu berkata China perlu juga meningkatkan usaha menarik pelaburan, teknologi dan profesional berkaliber tinggi dari seberang laut.

Beliau juga menyeru syarikat China mengembangkan kehadiran mereka di seberang laut pada rentak lebih pantas, meningkatkan operasi di dalam persekitaran antarabangsa dan membangunkan beberapa perbadanan pelbagai negara berkelas dunia.

Hu berkata, China akan memainkan peranan aktif di dalam tadbir urus ekonomi global, menggalakkan dan memudahkan perdagangan bebas dan pelaburan dan menentang dasar perlindungan di dalam semua bentuknya. 

"China akan menuruti strategi "menang-menang" membuka dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi global yang cergas, lestari dan seimbang melalui peningkatan kerjasama," katanya.

Mengenai usaha menggalakkan pembangunan ekonomi, Hu berkata China perlu mempercepatkan pembentukan satu model pertumbuhan baharu dan memastikan pembangunannya berasaskan peningkatan kualiti dan prestasi.

Mengenai pembaharuan struktur ekonomi, katanya China akan mengikut peraturan pasaran dengan teliti dan melihat peranan yang lebih baik bagi kerajaan.

"Isu yang kita hadapi di dalam pembaharuan struktur ekonomi ialah bagaimana mencapai keseimbangan antara peranan kerajaan dan pasaran," katanya.

Katanya, China akan mengukuhkan sistem pembaharuan supaya ia akan menyumbang dengan lebih baik kepada kestabilan makroekonomi dan menyokong pembangunan ekonomi sebenar.

"Kita perlu membangunkan pasaran modal pelbagai tingkat, mengambil langkah yang kukuh bagi menjadikan kadar faedah dan kadar pertukaran Renminbi lebih berasaskan pasaran dan menggalakkan kebolehtukaran yuan di bawah akaun modal tidak lama lagi," katanya.

Hu berkata, China perlu menambah baik pengawasan dan pemantauan kewangan, menggalakkan inovasi kewangan dan memastikan kestabilan kewangan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment