My Add

Sunday 4 November 2012

Cubaan hidupkan semula Al-Arqam dipandang serius

KUALA LUMPUR, SABTU, 03 November, 2012: Kerajaan memandang serius cubaan pihak tertentu untuk menghidupkan kembali kumpulan ajaran sesat Al-Arqam, selepas kejadian terbaru menyaksikan pengikut kumpulan itu mengadakan sambutan ulang tahun kelahiran pengasasnya, Allahyarham Ashaari Muhammad.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihak berkuasa harus mengambil langkah tegas dalam menangani perkara itu kerana ia melibatkan soal hukum dan akidah umat Islam.

"Ia sudah diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan. Kita pegang kepada itu, tak kira siapa yang terlibat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Perhimpunan Khas Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan beberapa pemimpin kumpulan Al-Arqam yang cuba meyakinkan pengikut mereka kononnya kumpulan ajaran sesat itu akan menjadi semakin kuat hasil 'bantuan ajaib roh Tuhan' seperti dijanjikan Ashaari sebelum ini.

Perkara itu terbongkar selepas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu 'konsert khas' bagi menghidupkan kembali ajaran itu malam kelmarin sehingga membawa penangkapan 16 individu termasuk Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat, Dr. Badrulamin Bahron.

Dalam perkembangan berasingan, Timbalan Perdana Menteri berkata, semua pihak diminta tidak mudah menjatuhkan hukuman ke atas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz hanya kerana satu pihak membuat tuduhan ke atas beliau.

Katanya, kalau benar pembangkang merasakan mereka mempunyai sesuatu mengapa tidak mengemukakan perkara tersebut kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Biasalah pembangkang. Mereka akan kemuka macam-macam. Kalau ada sesuatu kemukakan kepada polis, biar SPRM siasat. Jangan mudah menjatuh hukuman, kita mesti ada nilai prinsip kebertanggungjawaban undang-undang," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment