My Add

Wednesday 21 November 2012

Cuepacs syor skim khas penguat kuasa PBT

 PUTRAJAYA, RABU, 21 November, 2012: Kerajaan dicadang mewujudkan skim khas dengan gaji permulaan lebih tinggi bagi menyeragamkan penguatkuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara, sebagai satu daripada langkah mentransformasi golongan itu.

Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata, sudah tiba masanya skim itu diwujudkan kerana pada masa ini, lebih 6,000 penguatkuasa dari 154 PBT seluruh negara dimasukkan dalam Gred N, iaitu sama dengan pentadbir lain yang bekerja di pejabat.

"Pada Cuepacs, ini tidak sesuai. Mesti ada semakan semula untuk wujudkan skim khas. Sebagai contoh, pegawai bomba di bawah gred KD, pegawai maritim di bawah gred KX. Gred N adalah khas untuk pentadbiran dan sokongan.

"Cabaran dan risiko mereka adalah lain. Insentif dan kenaikan pangkat mereka juga mesti seimbang dengan tugas yang mereka lakukan. Barulah keberkesanan tugas dan integriti mereka akan meningkat," katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat berhubung kajian cadangan penambahbaikan skim perkhidmatan pegawai penguatkuasa PBT hari ini.

Beliau berkata, satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan bersama Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja Pekerja Penguasa Penguasa Tempatan Semenanjung Malaysia, Azih Muda dan Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Mohd Fauzi Maarop telah diwujudkan bagi merangka kertas kerja berhubung pengwujudan gred baru itu.

Omar berkata, kertas kerja itu akan dibentang kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dalam tempoh tiga minggu supaya tindakan yang pantas dapat diambil.

Soal insurans penguat kuasa PBT juga perlu disemak semula kerana pada masa ini, hanya penguatkuasa yang hilang upaya kekal kerana tugas mendapat pampasan, tetapi tidak mereka yang tercedera dan lain-lain, katanya.

Sementara itu, Mohd Fauzi berkata selain skim tersebut, cadangan lain yang akan dibentang ialah kajian semula tugas penguatkuasa PBT di seluruh negara.

Katanya, soal kebajikan anggota juga perlu diambil kira berikutan risiko yang perlu mereka tanggung selain peluang kenaikan pangkat serta pakaian seragam untuk semua PBT. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment