My Add

Sunday 11 November 2012

Generasi baharu nobat Najib Bapa Transformasi Felda

SHAH ALAM, SABTU, 10 November, 2012: Jika sebelum ini Datuk Seri Najib Tun Razak disifatkan banyak pihak sebagai 'Bapa Transformasi Negara', hari ini beliau digelar pula sebagai 'Bapa Transformasi Felda'.

Menurut wakil generasi baharu Felda, Anuar Manap, gelaran itu amat tepat memandangkan Perdana Menteri telah melakukan pelbagai pembaharuan di tanah rancangan di seluruh negara demi kesejahteraan dan kelangsungan golongan peneroka.

Lebih bermakna, katanya, pembaharuan itu dilakukan oleh Najib selepas bapanya, Tun Abdul Razak Hussein selaku Perdana Menteri kedua mengasaskan penubuhan serta membuka tanah rancangan Felda semasa era pentadbiran beliau.

"Selepas wacana malam tadi, kita gelarkan Pengarah Besar Felda (Faizoull Ahmad) sebagai arkitek tanah rancangan dan hari ini kita nobatkan gelaran Bapa Transformasi (Felda) kepada Perdana Menteri.

"Ini kerana semasa pembentangan Bajet 2013, beliau mengumumkan pembinaan 20,000 unit rumah akan dibina di tanah rancangan serta pelan melakukan pertanian bersepadu," katanya berucap dalam Himpunan Generasi Baharu Felda di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Anuar berkata, projek perumahan itu merupakan proses urbanisasi untuk generasi baharu supaya terus tinggal di tanah rancangan seluruh negara yang semakin tersusun.

"Generasi baharu Felda yang terdiri daripada anak dan cucu cicit para peneroka sentiasa berterima kasih kepada kepimpinan negara yang diterajui oleh Perdana Menteri," katanya.

Beliau berkata, golongan itu juga selesa untuk menyatakan sokongan dan penghargaan terhadap Najib serta kepimpinan negara apabila datang berkumpul hari ini dari seluruh tanah rancangan walaupun terpaksa mengharungi beberapa cabaran seperti kenderaan rosak dalam perjalanan.

"Kami bersyukur kepada Allah, bukan di jalanan tetapi di sini. Ini tanda terbesar bahawa kami generasi baharu Felda akan terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri," sambil disambut tepukan gemuruh serta sorakan kira-kira 12,000 belia Felda yang hadir ke program tersebut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment