My Add

Sunday 11 November 2012

Pertandingan Sukan Teras berjaya tarik 1,200 penyertaan belia Felda

*sebahagian warga Felda memegang simbol 1Malaysia sebagai tanda
sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun 
Razak dalam Program Himpunan Generasi Baharu Felda di UiTM Shah 
Alam, semalam.

SHAH ALAM, SABTU, 10 November, 2012: Pertandingan Sukan Teras yang dianjurkan sempena program Himpunan Generasi Baharu Felda (HGBF) di sini berjaya menarik 1,200 penyertaan daripada pelbagai pertubuhan belia tanah rancangan itu di seluruh negara.

Pengerusi sekretariat bersama penganjuran HGBF, Mohd. Yusof Din berkata, kesemua peserta yang mengambil bahagian dalam pertandingan itu adalah golongan belia di bawah Majlis Belia Felda di seluruh negara yang turut menyertai pelbagai jenis sukan lasak termasuk aktiviti pencarian harta karun.

"Dalam pertandingan ini, kita menggabungkan pelbagai elemen sukan seperti Xplorace (pencarian harta karun), paintball, bola jaring dan futsal.

"Objektif pertandingan ini bukan sekadar merapatkan hubungan antara golongan belia Felda di negara ini sebaliknya turut bertujuan sebagai medan kepada golongan itu mengetengahkan bakat-bakat mereka dalam bidang sukan dan kemahiran dalam bidang-bidang tertentu," katanya ketika ditemui di tapak HGBF di padang kawad Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini hari ini.

Mohd. Yusof memberitahu, pihak penganjur menawarkan hadiah lumayan kepada juara setiap kategori aktiviti dan sukan yang dipertandingkan iaitu bagi aktiviti Xplorace, wang tunai RM1,000 termasuk pingat akan diberikan kepada pasukan yang mendapat tempat pertama.

Selain itu, katanya, bagi sukan paintball, futsal dan bola jaring, pasukan yang mendapat tempat pertama menerima wang tunai sebanyak RM1,500 termasuk pingat.

Tambah beliau, kesemua juara pertandingan tersebut dijangka diumumkan dalam majlis penutup HGBF esok. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment