My Add

Monday 26 November 2012

Harga minyak murah punca penyeludupan berlaku

KUALA LUMPUR, ISNIN, 26 November, 2012: Harga petrol dan diesel yang lebih murah berbanding di negara jiran adalah punca utama berlakunya aktiviti penyeludupan yang mana pihak yang tidak bertanggungjawab mampu mengaut keuntungan begitu mewah, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, walaupun kerajaan menghapuskan subsidi, harga minyak di negara ini masih murah sehingga membawa kepada aktiviti penyeludupan bahan itu termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Bagi RON95 di Malaysia, harga subsidi petrol di negara ini adalah RM1.90 seliter manakala di Thailand RM4.85 seliter. Diesel pula adalah RM1.80 seliter dan di Thailand RM3 seliter.

"Daripada perbezaan harga itu, menunjukkan memang mewah dan berbaloi untuk membuat ketirisan atau penyeludupan.

"Katalah jika kita hapuskan subisidi, harga RON95 tanpa subsidi jadi RM2.72 seliter manakala diesel pula RM2.75 seliter. Ini masih lagi murah," kata Rohani ketika menjawab soalan Datuk Ismail Kasim (BN-Arau).

Ismail ingin tahu mengenai keupayaan pegawai penguatkuasa kementerian berkaitan menangani masalah penyeludupan bahan subsidi seperti diesel dan petrol.

Rohani berkata, kementerian bekerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasa lain seperti Kastam Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memantau kegiatan penyeludupan. 

Katanya, sehingga 31 Oktober lalu, terdapat 601 kes rampasan petrol dan diesel di sempadan membabitkan nilai hampir RM5 juta berbanding tahun lalu 812 kes rampasan minyak dan diesel dengan nilai mencecah RM3 juta. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment