KUALA LUMPUR, KHAMIS, 22 November, 2012: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata Israel telah melakukan serangan melebihi kemampuan Gaza dan bukanlah serangan untuk tujuan mempertahankan diri.
"Ini kerana kemusnahan sampingan yang berlaku terutama kepada orang yang tidak bersalah. Kebanyakan mangsa adalah wanita dan kanak-kanak. Difahamkan jumlah kematian telah melebihi 100 dan lebih 2,000 penduduk Gaza cedera.
"Ini seharusnya tidak berlaku dan harus diselesaikan dengan gencatan senjata," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Penasihat Keselamatan Kebangsaan kepada Perdana Menteri Britain, Sir Nigel Kim Darroch di pejabatnya di bangunan Parlimen hari ini.
Ahmad Zahid mengulas mengenai gencatan senjata Israel-Palestin yang bermula pada 3 pagi ini waktu Malaysia hasil diplomasi yang diusahakan Presiden Mesir, Dr Mohamed Morsi.
Mengulas mengenai pertemuan ringkas itu, beliau berkata apa yang dibincangkan adalah soal pertahanan serantau dan ada kaitan dengan Perjanjian Pertahanan Lima Negara di mana kedua-dua negara antara lima negara yang terlibat.
"Kita juga ada bincang mengenai situasi di Gaza. Beliau setuju dengan pendapat saya...Israel telah melakukan serangan melebihi kemampuan Gaza.
"Saya sudah minta pihak Britain supaya bagi tahu Israel untuk terus bersetuju dengan gencatan senjata itu," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata pendekatan Malaysia sama dengan Britain iaitu tidak seharusnya menambah perbelanjaan ketenteraan sebaliknya menggunakan apa yang ada atau menggantikan aset pertahanan yang tidak relevan dengan situasi pertahanan negara.
Katanya mengukuhkan kesiapsiagaan adalah soal staf dan bukan aset dan oleh itu Malaysia akan perbesarkan Askar Wataniah, atau pasukan simpanan tentera berbanding memperbesarkan jumlah pegawai tetap sedia ada. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment