My Add

Monday 5 November 2012

Jumlah mangsa banjir di seluruh negara kini 3,276 orang

KUALA LUMPUR, ISNIN, 05 November, 2012:: Jumlah mangsa banjir di seluruh negara kini seramai 3,276 orang dengan Johor mencatatkan jumlah tertinggi setakat ini.

Johor mencatat seramai 1,695 mangsa dengan kawasan yang terjejas membabitkan tiga daerah iaitu Batu Pahat, Kluang dan Ledang.

Menurut laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipetik BH, setakat jam 6 petang ini sebanyak 18 pusat pemindahan dibuka di Johor bagi menempatkan semua mangsa yang terbabit dengan pecahan 15 pusat pemindahan di Batu Pahat iaitu kawasan paling teruk terjejas, diikuti Kluang (2) dan Ledang (1).

Negeri kedua paling teruk terjejas ialah Selangor apabila 1,219 mangsa ditempatkan di empat pusat pemindahan iaitu di Sepang dan tiga di Kuala Langat.

Selain itu, di Perak, seramai 258 mangsa dilaporkan dipindahkan ke tiga pusat pemindahan di Hilir Perak manakala Melaka yang turut terjejas mencatatkan 104 mangsa yang kini ditempatkan di pusat pemindahan daerah Jasin dan Melaka Tengah.

Sementara itu, MKN menasihati orang awam supaya sentiasa peka dengan amaran banjir dan segera berpindah ke pusat pemindahan atau tempat lebih tinggi seperti yang diarahkan pihak berkuasa bagi mengelak kejadian yang tidak diingini. - BH

Dari IPOH, BERNAMA melaporkan, sejumlah 256 mangsa banjir di daerah Hilir Perak dipindahkan di tiga pusat pemindahan berikutan kampung mereka dinaiki air sedalam satu meter sejak Sabtu lalu.

Mangsa banjir di Kampung Batu Lapan membabitkan seramai 161 orang (47 keluarga), Batu 4 Kampung Selabak seramai 66 orang (20 keluarga) dan Kampung Kunci Ayer Empat seramai 29 orang membabitkan sembilan keluarga.

Ketua Polis Daerah HIlir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, mereka dipindahkan di tiga pusat pemindahan iaitu Sekolah Kebangsaan Changat Jong dan surau di Kampung Selabak dan Kampung Kunci Ayer Empat.


"Mereka dipindahkan sejak tiga hari lalu berikutan hujan lebat sepanjang tiga hari menyebabkan air dari Sungai Bidor melimpah ke kampung-kampung terbabit", katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, sehingga sekarang keadaan air di kampung terbabit masih bertahan sedalam satu meter.

Kesemua mangsa banjir telah dipindahkan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan polis. 

No comments:

Post a Comment