My Add

Friday, 23 November 2012

Ketua Pembangkang dikecam

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 22 November, 2012: Beberapa ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) hari ini mengecam tindakan terdesak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta campur tangan asing dalam urusan pilihan raya umum di Malaysia.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan Australia menolak rayuan campur tangan itu membuktikan bahawa kerajaan tersebut sebenarnya menempelak tindakan Anwar.

Kata beliau, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sentiasa memberikan taklimat kepada semua Ahli Parlimen dari semasa ke semasa, namun hanya segelintir pemimpin pembangkang hadir mendengar penjelasan itu.

"Kita harus beri sepenuh keyakinan kepada SPR, harus berbincang kalau tidak jelas tentang sesuatu perkara.

"Ini membuktikan pihak pembangkang hanya berani berkokok di luar tetapi tidak ikhlas meminta ketelusan," katanya selepas menerima kunjungan hormat Penasihat Keselamatan Kebangsaan Perdana Menteri United Kingdom, Sir Nigel Kim Darroch, di bangunan Parlimen hari ini.

Anwar dilaporkan menulis kepada Menteri Luar Australia, Bob Carr meminta negara itu membantu memastikan pilihan raya umum di Malaysia bebas daripada penipuan dan rasuah.

Walau bagaimanapun, kerajaan tersebut menolak rayuan itu kerana mereka tidak boleh dan tidak akan mempengaruhi cara pilihan raya umum dilaksanakan di negara ini.

Sementara itu seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menyifatkan keputusan kerajaan Australia untuk tidak mempengaruhi cara pilihan raya umum di Malaysia sebagai satu pengiktirafan kepada sistem pilihan raya negara ini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, keputusan tersebut juga membuktikan bahawa kerajaan negara itu yakin dengan ketelusan pengurusan dan perjalanan sistem pilihan raya yang diamalkan sejak merdeka lagi.

''Ternyata keputusan itu menunjukkan mereka yakin bahawa tidak akan ada penyelewengan yang boleh memudaratkan pengurusan dan perjalanan sistem pilihan raya di negara ini.

''Kalau ada penipuan atau penyelewengan, tidak mungkin pembangkang boleh memerintah di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Penasihat Kebangsaan Pembangunan Masyarakat Orang Asli Ke-10, di Putrajaya hari ini.

Mohd. Shafie berkata, tindakan Anwar itu bertujuan menimbulkan keraguan ekoran ketidakyakinan sendiri untuk memenangi pilihan raya umum akan datang.

''Jadi, beliau menggunakan pelbagai alasan untuk memperkukuhkan dakwaannya sebelum menjelang pilihan raya umum nanti," katanya.

Bagi Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, tindakan tersebut bukan sahaja memalukan malah dilihat tidak bermaruah.

"Anwar harus menghentikan usaha untuk minta kuasa asing campur tangan dalam sistem demokrasi negara kita. Pemuda UMNO menyambut baik keputusan kerajaan Australia menolak permintaan Anwar," katanya.

Mengulas isu sama, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin berpendapat, sikap terdesak Anwar itu menampakkan kegusaran pakatan pembangkang jika mereka kalah dalam pilihan raya umum akan datang.

"Saya lihat mereka sengaja utarakan kononnya SPR tidak telus kerana jika mereka kalah, mereka akan salahkan SPR bukannya rakyat tidak sokong mereka," katanya.

Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan pula mahu kerajaan mengambil tindakan terhadap Anwar kerana cuba mengaitkan pihak luar dalam urusan negara.

Ahli Parlimen Silam, Salleh Kalbi pula berkata, perjalanan pilihan raya umum yang berlangsung 12 kali sebelum ini diadakan secara adil dan telus oleh SPR. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment