My Add

Wednesday 14 November 2012

Khalid Samad pandang remeh kedudukan akar umbi Pas

KUALA LUMPUR, SELASA. 13 November, 2012: Tindakan Timbalan Pesuruhjaya III Pas Selangor, Khalid Abdul Samad mempertikaikan keahlian peserta yang menghadiri wacana 'Mengembalikan Pas ke Landasan Asal' Sabtu lalu dilihat seperti meremehkan kemampuan, kebolehan dan kedudukan mereka di dalam parti.

Presiden Pertubuhan Jalur Tiga, Datuk Dr. Hasan Ali berkata, beliau dimaklumkan sebahagian besar peserta wacana adalah ahli akar umbi dan penyokong Pas mewakili cawangan-cawangan beberapa negeri termasuk Kedah, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan.

Menurut beliau, antara yang hadir dan aktif menyumbangkan pandangan pada wacana itu ialah bekas Setiausaha Agung Pas, Datuk Hishamudin Yahya dan bekas Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Muslim Othman.

Jelasnya, kumpulan yang hadir pada wacana tersebut bertanggungjawab memilih pucuk pimpinan parti sekarang termasuk Khalid sendiri.

''Bagi saya, jangan diperkotak-katikkan peranan dan sumbangan mereka kepada parti. Mereka bukan kumpulan yang syok sendiri.

''Malah, mereka yang akan menyelamatkan Pas daripada didominasi oleh parasit-parasit yang gilakan Putrajaya dan sanggup menjadikan Pas seperti kerbau dicucuk hidung," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Khalid semalam yang mendakwa wacana tersebut bukan dihadiri oleh ahli Pas manakala 11 resolusi yang dicapai hasil wacana itu tidak mewakili akar umbi parti.

Tambah Hasan, program jelajah ke seluruh negara yang dianjurkannya bersama rakan-rakan seperjuangan yang lain mendapati sebahagian ahli-ahli Pas peringkat cawangan, kawasan dan negeri tidak bersetuju dengan bentuk kerjasama Pas dalam pakatan pembangkang.

''Mereka berpandangan Pas telah mengetepikan landasan perjuangannya semata-mata untuk mengejar kuasa dengan menawan Putrajaya serta mengangkat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri," ujarnya.

Hasan memberitahu, Pas juga dikatakan sudah termakan 'gula-gula' fahaman liberalisme Barat yang menghalalkan perlakuan-perlakuan individu yang bertentangan dengan ajaran agama seperti golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

''Kenyataan terbaharu oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berhubung kebebasan beragama untuk orang Melayu dan Islam telah meranapkan keyakinan ahli dan penyokong Pas terhadap pimpinan mereka," katanya.

Berhubung penegasan Khalid bahawa Pas tidak pernah tersasar dalam perjuangannya, jelas Hasan, resolusi yang dicapai pada wacana tersebut menyatakan hakikat sebaliknya.

Menurut beliau, Pas tidak menunjukkan tanda-tanda mempunyai keupayaan untuk menjadi peneraju utama dalam pakatan pembangkang malah pimpinan parti telah merelakan Pas menjadi kuda tunggangan DAP dan PKR.

''Peserta-peserta wacana sanggup datang dari jauh dan dekat untuk menyatakan kekecewaan mereka terhadap pimpinan Pas yang dikatakan tidak lagi dapat mempertahankan amanah menegakkan Islam dan melaksanakan hudud yang menjadi landasan perjuangan sejak parti ditubuhkan," katanya.

Mengulas tindakan Khalid mempertikaikan kelayakan beliau memberi ucapan pada wacana tersebut, Hasan menjelaskan kehadirannya adalah di atas jemputan penganjur wacana.

''Saya juga diminta untuk memperjelaskan kedudukan Pas di dalam pakatan pembangkang yang mentadbir Selangor di mana saya pernah terlibat secara langsung sebagai Exco kerajaan negeri.

''Sebahagian peserta yang hadir memang ada menyentuh tentang pentadbiran kerajaan PKR Selangor dan saya diminta tampil memberi ulasan tentang perkara itu. Saya telah memberi pandangan berdasarkan kepada pengalaman saya, tidak lebih daripada itu," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment