My Add

Sunday, 11 November 2012

Lelaki OKU maut dalam kebakaran rumah kedai di Bangsar

KUALA LUMPUR, AHAD, 11 November, 2012: Seorang lelaki yang kudung kedua-dua belah kaki maut selepas terperangkap dalam kebakaran membabitkan rumah kedai dua tingkat di Jalan Bangsar, di sini, awal hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata, mangsa yang berusia 30-an dan berasal dari Pantai Timur itu dipercayai pekerja bengkel motosikal yang hangus dalam kejadian tersebut.

"Berdasarkan maklumat rakan sekerja, mangsa dikenali sebagai Mohd Yaakob dan kudung kedua-dua belah kaki," katanya ketika dihubungi.

Bahagian bawah rumah kedai itu adalah bengkel motosikal manakala bahagian atas pula menempatkan 12 bilik sewa untuk pekerja.

"Ketika kejadian jam 2.35 pagi itu penghuni bangunan sedang nyenyak tidur tetapi mereka sempat lari menyelamatkan diri," katanya sambil memberitahu ada seorang mangsa yang terjun dari tingkat atas.

Menurutnya, bilangan sebenar penghuni belum dapat dipastikan.

Jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pantai, Hang Tuah dan Sri Hartamas dengan kekuatan 23 anggota dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima laporan, katanya.
Khirudin berkata, api berjaya dikawal daripada merebak ke premis bersebelahan kira-kira jam 3 pagi.

Punca serta anggaran kerugian masih dalam siasatan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment