My Add

Saturday 24 November 2012

Majikan diingat tidak terlalu perah tenaga pekerja

JOHOR BAHRU, SABTU, 24 November, 2012: Majikan di negara ini diingat agar tidak terlalu memerah tenaga pekerja mereka serta mematuhi waktu bekerja yang ditetapkan dalam Akta Pekerjaan 1955.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S.Subramaniam, berkata di bawah akta itu, masa bekerja ialah lapan jam sehari dan tambahan empat jam lagi dianggap kerja lebih masa.

"Kebanyakan masa orang bekerja lebih masa untuk mendapat pendapatan lebih bagi menyara keluarga mereka," katanya ketika ditemui pada seminar penyelidikan antarabangsa berkaitan pendidikan Tamil hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang memetik laporan kaji selidik global laman web agensi pelancongan Expedia bahawa 90 peratus pekerja Malaysia tidak dapat meninggalkan kerja mereka walaupun sedang bercuti.

Katanya, Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Tenaga Kerja, masih mengkaji kandungan kaji selidik itu yang meletakkan pekerja Malaysia di tangga keempat di belakang India, Brazil, dan Itali sebagai paling berdedikasi.

Dr Subramaniam juga berkata pengenalan gaji minimum akan membantu meringankan beban mereka yang bekerja keras untuk mencari rezeki.

"Dengan pelaksanaan gaji minimum menjelang awal tahun depan, mereka yang bekerja syif yang panjang akan mendapat manfaat yang lebih," katanya sambil menasihati majikan agar dinasihat melayan pekerja dengan adil. 

Dalam pada itu, Dr Subramaniam yang juga Timbalan Presiden MIC, berkata masyarakat India di negara ini membantah kehadiran Presiden Sri Lanka Mahinda Rajapaksa ke Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) di sini awal bulan depan.

Beliau berkata masyarakat India sensitif dengan kehadiran Mahinda dan perkara itu telah dibincangkan bersama kabinet dan Perdana Menteri.

Mahinda didakwa terlibat dalam jenayah perang semasa Perang Sivil Sri Lanka, yang mengorban beribu-ribu orang, terutama masyarakat Tamil.

Beliau dijangka menghadiri forum itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor dari 4 hingga 6 Disember ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment