Malaysia berpotensi jadi hub penunggang motosikal kuasa tinggi: PM
PUTRAJAYA, AHAD, 11 November, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berharap golongan penunggang motosikal berkuasa tinggi di negara ini akan bertambah kerana Malaysia berpotensi menjadi hub penunggang motosikal jenis itu di rantau ini.
Berucap menutup 1Malaysia Bike Week (1MBW) di perkarangan Istana Kehakiman di sini hari ini, Najib berkata, beliau tidak fikir ada negara lain di Asean yang mempunyai jumlah penunggang motosikal berkuasa tinggi seramai itu.
"Saya menganggap ini sebagai titik permulaan kepada masa depan di mana kegiatan menunggang ini akan memuncak dan akan bercambah kepada bilangan yang jauh lebih besar lagi," katanya.
Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Eksekutif Superbikes Association of Malaysia (SAM), Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Presiden Perbadanan Putrajaya Tan Sri Aseh Che Mat dan Presiden SAM Datuk Abdul Halim Suleiman.
Acara pada hari ini turut diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai ekspedisi motosikal berkuasa tinggi terbesar dengan 438 motosikal dan 536 peserta serta perhimpunan terbesar motosikal berkuasa tinggi dengan 6,630 motosikal dan 7,740 peserta. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment