My Add

Sunday, 11 November 2012

Konvoi Ekspedisi Jelajah Borneo paltform terbaik erat hubungan serantau

TAWAU, AHAD, 11 November, 2012: Konvoi Ekspedisi Jelajah Borneo dapat menjadi platform terbaik untuk mewujudkan persahabatan dan menambah baik hubungan serantau antara Malaysia dan negara jiran serumpun iaitu Brunei dan Indonesia.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, seramai 65 peserta menyertai ekspedisi sejauh 12,000 kilometer merentasi dua negeri iaitu Sabah dan Sarawak yang membabitkan Brunei dan Indonesia menggunakan 21 kenderaan pacuan empat roda.

"Apa yang paling penting adalah semangat juang tinggi, apa saja yang kita anggap mustahil akan dapat kita realisasikan dan capai dengan berkat kesungguhan dan kekuatan diri sendiri," katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran ekspedisi itu, di sini, hari ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Che Azemi Haron.

Rais berkata, peserta ekspedisi khususnya pemandu diminta menggunakan pengalaman yang diperoleh untuk diaplikasikan sepanjang program itu memandangkan kejayaan program itu terletak di bahu pemandu.

"Stamina, pengamatan, ciri-ciri pemanduan yang mantap, kerjasama dan kesabaran amat diperlukan dalam mengendalikan kenderaan masing-masing," katanya.

Ekspedisi selama 21 hari itu bermula di Tawau dan seterusnya ke Kota Kinabalu, Brunei, Miri, Sibu, Kucing, Pontianak, Pangkalan Bun, Palangkaraya, Banjarmasin, Balikpapan, Samarinda, Tanjung Manis, Tanjung Selor, Melinau dan kembali ke Tawau pada 30 November. 

Terdahulu, pengarah program, Nizam Abu Bakar Titingan yang juga Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri berkata, kelab yang ditubuhkan Oktober tahun lepas akan mencipta nama sebagai kelab sukan pacuan empat roda pertama mengelilingi Pulau Borneo.

Nizam berkata, program yang disertai pelbagai suku kaum di Sabah itu bertujuan mempromosikan Malaysia khususnya Sabah dan Tawau sebagai pusat pelancongan serta aktiviti sukan lasak kenderaan pacuan empat roda.

"Program ini juga membantu kerajaan dalam pengwujudan semangat perpaduan di kalangan rakyat di ketiga-tiga negara," katanya.

Sementara itu, Pengarah Warna Motion Pictures & Marketing Sdn Bhd, Datuk Mustafa Ma’arof berkata, program itu akan disiarkan oleh stesen televisyen Indonesia saluran I (TVI) selama 14 siri bermula April tahun depan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment