Palanivel pertahan anjur Rumah Terbuka Deepavali di Batu Caves
PETALING JAYA, AHAD, 11 November, 2012: Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel mempertahankan keputusan parti mengadakan Rumah Terbuka Deepavali berhampiran kuil Batu Caves untuk berkongsi kemeriahan perayaan dengan semua kaum India dan pengunjung.
Beliau juga membidas pembangkang kerana mempolitikkan isu itu untuk kepentingan politik.
"Semua dijemput ke rumah terbuka. Bukan hanya anggota MIC atau komuniti India yang akan hadir tetapi semua lapisan masyarakat termasuk pelancong," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada 400 keluarga memerlukan dari Petaling Jaya Selatan, di sini, hari ini.
Palanivel yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengulas laporan sebuah portal berita yang mengkritik tindakan MIC untuk menganjurkan sambutan Deepavali di Batu Caves.
Mengulas lanjut, beliau berkata menjadi tradisi MIC menganjurkan rumah terbuka sejak bertahun-tahun dan tahun lalu acara itu juga diadakan di pekarangan kuil itu serta dihadiri lebih 10,000 tetamu.
Mengenai senarai calon MIC pada pilihan raya umum akan datang, Palanivel menegaskan beliau mahu memilih calon yang sesuai dan terbaik.
"Kami tidak akan membawa orang luar bertanding di kawasan tradisi MIC. Jika orang luar dipilih, kita akan tolak.
"Calon mesti daripada MIC, mesti ada pengalaman dalam parti, dikenali, popular dan memegang jawatan dalam parti. Calon dengan kriteria ini akan dipilih untuk bertanding," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment