My Add

Friday, 23 November 2012

Pementasan Teater Dr. Siti Hasmah dilanjutkan

 *DR Siti Hasmah (tengah) beramah mesra dengan pelakon Teater Dr. Siti
Hasmah di Istana Budaya, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 22 November, 2012: Pementasan Tribute Teater Dr. Siti Hasmah - Dari Hati Seorang Perempuan akan disambung semula dari 29 November hingga 3 Disember ini sempena Perhimpunan Agung UMNO.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, pihaknya bersama Islamic Network Televisyen bersetuju untuk menjalankan lapan pementasan teater berkenaan termasuk di sebelah siang pada Sabtu dan Ahad.

"Sempena Perhimpunan Agung UMNO, kami berharap lebih ramai peminat dapat menonton pementasan ini memandangkan sambutan menggalakkan pada pementasan sebelum ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, teater selama dua jam tersebut dipentaskan dari 9 hingga 19 November lepas dan mendapat sambutan hangat daripada penonton.

Jelas Mohamed Juhari, harga tiket pementasan itu kekal antara RM30 dan RM350 manakala pertunjukannya bermula pukul 8.30 malam sementara pada Sabtu dan Ahad mulai 3 petang.

Beliau menjangkakan lebih ramai penonton pada pementasan kali ini berikutan publisiti, ulasan yang baik dan cakap-cakap yang disebarkan dari mulut ke mulut mengenainya.

Membariskan beberapa pelakon ternama tanah air antaranya Lisa Surihani, Siti Shahrizah (Eja), Esma Danial dan Nazim Othman, teater arahan Erma Fatima itu, kata Mohamed Juhari, sarat dengan mesej yang memberi inspirasi kepada wanita di segenap peringkat umur.

"Sebagai seorang wanita, Erma memahami cabaran yang dilalui Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali yang jelas dilihat dalam teater ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment