My Add

Monday 5 November 2012

Penipuan ijazah: Tiada bank data berpusat

KUALA LUMPUR, ISNIN, 05 November, 2012: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak berhasrat mewujudkan bank data berpusat yang mengandungi maklumat terperinci penerima ijazah dan diploma institusi pengajian tinggi (IPT) bagi menangani masalah penipuan ijazah, kata Timbalan Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, ini kerana bank data itu sudah wujud di IPT awam (IPTA) dan IPT swasta (IPTS).

"Kaedah ini adalah selaras dengan pemberian autonomi dan kebebasan kepada IPT dalam pengendalian urusan operasi institusi,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri (BN-Kuala Nerus) berhubung rancangan menubuhkan bank data berpusat, di Dewan Rakyat hari ini.

Saifuddin berkata, setakat ini, KPT mempunyai sistem maklumat dan pangkalan data sendiri dikenali sebagai MyMOHES bagi IPTA dan ”IPT Information Management System” (IFMS) bagi IPTS bagi memperkemas proses penyaluran data kepada kementerian.

"Selain membantu meningkatkan kecekapan pengurusan maklumat pengajian tinggi negara, sistem ini juga dapat memastikan data dan maklumat dibekalkan sentiasa tepat, terkini, sahih dan boleh digunakan bagi tujuan perancangan, penggubalan dasar dan pembangunan pengajian tinggi negara yang mampan,” katanya. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment