My Add

Friday 9 November 2012

Prasyarat menang PRU-13

RANTAU PANJANG, KHAMIS, 08 November, 2012: Tan Sri Muhyiddin Yassin menggariskan beberapa prasyarat untuk membolehkan Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan selesa termasuk kemungkinan merampas kembali negeri-negeri diperintah pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, prasyarat utama ialah perpaduan antara ahli dan parti komponen yang perlu diselesaikan kerana perkara itu merupakan 'inti kekuatan' kepada UMNO dan BN bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Selain perpaduan kata beliau, jentera parti di semua peringkat juga perlu mendekati pengundi supaya mereka kekal memberikan sokongan kepada parti apabila tiba hari pengundian.

"Kita minta ketua-ketua cawangan bekerja keras menentukan pengundi terus memberikan sokongan mereka supaya kekalahan dalam pilihan raya lalu dapat ditebus," katanya ketika berucap dalam majlis Jamuan Rakyat 1Malaysia di Kolej Kemahiran Tinggi Mara, di sini hari ini.

Yang hadir sama, isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin; Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha dan Penyelaras Parlimen Rantau Panjang, Datuk Abdullah Mat Yasim.

Dalam majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM900,000 bagi membaiki rumah rakyat miskin di Parlimen Rantau Panjang, bantuan untuk ibu tunggal sebanyak RM100,000 dan RM20,000 untuk kelab penyokong The Red Warriors daerah ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, jentera parti di semua peringkat perlu membuat persiapan dari sekarang dengan gerak kerja telah disusun rapi tanpa menunggu tarikh pilihan raya diumumkan.

--Selain itu, katanya, jentera parti juga perlu menyelesaikan masalah di bahagian masing-masing termasuk masalah rakyat supaya tidak menjadi masalah kepada parti dalam mendapatkan sokongan mereka.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Muhyiddin berkata, prasyarat yang ditekankan itu penting untuk meletakkan parti dalam keadaan siap siaga dan sentiasa bersedia dalam segala aspek bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Masalah perpaduan, jentera parti yang perlu bergerak dan kerjasama penting bagi kita, tidak guna kita kata ingin menawarkan sesuatu yang lebih baik tapi masalah dalaman kita tak beres.

"Itu akan menjadi kekangan kepada matlamat kita mencapai kejayaan dalam pilihan raya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, rakyat Kelantan boleh menilai kegagalan kerajaan Pas negeri melaksanakan pelbagai projek pembangunan dijanjikan termasuk Projek Lembah Sireh.

"Kalau sesuatu projek hendak dilaksanakan biasanya kerajaan ambil kira kepentingan rakyat dahulu bukan syarikat, syarikat boleh belanja tapi yang pentingnya apa faedah dan keuntungan kepada rakyat, tapi kalau syarikat sahaja untung rakyat rugi tak berfaedah projek sebegitu," katanya.

Sementara itu, dalam pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Peringat dekat sini, Muhyiddin meminta mereka menggerakkan jentera parti bagi mempertahankan Putrajaya dan merampas negeri-negeri di bawah pembangkang. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment