My Add

Saturday 10 November 2012

Pusat perlindungan wanita tanpa lesen diserbu

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 09 November, 2012: Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini menyerbu dua buah rumah teres yang dijadikan pusat perlindungan wanita di Setapak yang beroperasi tanpa lesen dan menyelamatkan 69 wanita.

Pengarahnya, Noormah Abdul Rauf berkata, dalam serbuan tiga jam bermula 10 pagi, pusat itu didapati menempatkan 69 wanita, berumur antara 14 dan 30 tahun termasuk seorang bayi berusia lima bulan tanpa mengikut syarat ditetapkan jabatan itu.

"Sepatutnya dua buah rumah itu mampu memuatkan maksimum 28 orang tapi penjaga pusat itu meletakkan 69 orang, mana selesa, sedangkan pihak keluarga juga membayar yuran kepada pusat itu sebanyak RM10,000 setahun untuk seorang menjaga ahli keluarga mereka yang mempunyai masalah sosial atau sedang mengandung,” katanya kepada pemberita selepas serbuan ke pusat itu, di sini.

Beliau berkata, pusat itu, yang beroperasi sejak 24 tahun lalu dengan peruntukan sendiri, kini disiasat mengikut Seksyen 5 (1) Akta Pusat Jagaan 1993 kerana sehingga kini gagal didaftarkan.

Katanya, 42 wanita di pusat itu sedang mengandung, 19 baru sahaja melahirkan anak dan tujuh menghadapi masalah sosial.

"Kesemua wanita itu dibawa ke Asrama Bahagia, Kampung Pandan sebelum satu penempatan baru dicari untuk mereka,” kata Noormah sambil menambah sebanyak 207 pusat jagaan persendirian di Kuala Lumpur beroperasi tanpa lesen. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment