My Add

Thursday 8 November 2012

PUsh sasar ICT bumiputera
 
*NAJIB Tun Razak menyaksikan penyerahan mock-up Pengumuman Rakan Strategik oleh Ketua Pegawai Eksekutif New Entrepreneurs Foundation (NEF), Muhammad Ferdaus Johar (kiri) kepada Mohd. Badlisham Ghazali (kanan) dan turut disaksikan Ashran Ghazi (dua kiri) pada pelancaran inisiatif PUsh di Menara TM, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AMIN FARIJ HASAN
Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
KUALA LUMPUR, RABU, 07 November, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan inisiatif Pemangkin Usahawan (PUsh) dengan sasaran utama mewujudkan tiga syarikat gergasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) milik bumiputera yang terkemuka, berjaya dan berkaliber di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, di bawah inisiatif itu syarikat-syarikat kecil dan sederhana ICT bumiputera terpilih akan melalui proses penggabungan dan pengambilalihan melibatkan peranan beberapa agensi kerajaan termasuk Malaysia Venture Capital Management Bhd. (MAVCAP).

Beliau berkata, untuk menjayakan rancangan penggabungan tersebut yang disifatkan sebagai antara program kritikal di bawah inisiatif PUsh itu MAVCAP telah memperuntukkan sejumlah dana sebanyak RM30 juta.

''Saya yakin melalui inisiatif PUsh ini serta kerjasama semua pihak antaranya pemain industri, agensi-agensi kerajaan, Multimedia Development Corporation (MDeC) dan MAVCAP kita mampu mewujudkan tiga syarikat gergasi ICT milik bumiputera.

''Kita ingin melihat tiga syarikat gergasi ini muncul sebagai syarikat tersohor dalam bidang ICT dan mampu duduk sebaris dengan syarikat-syarikat ICT antarabangsa,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan inisiatif PUsh di Pusat Konvensyen TM di Menara TM di sini hari.

Inisiatif yang di dalamnya terdapat 14 program berbentuk latihan dan bimbingan itu akan dikendalikan oleh Yayasan Usahawan Baru dengan kerjasama Persatuan Usahawan dan Industri ICT bumiputera serta beberapa agensi kerajaan.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Eksekutif MDeC, Datuk Mohd. Badlisham Ghazali dan Pengerusi Yayasan Usahawan Baru, Ashran Ghazi.

Perdana Menteri berkata, selain penggabungan, inisiatif PUsh juga akan memberi tumpuan ke arah membangunkan 40 peratus syarikat ICT bumiputera yang mencatatkan perolehan terendah supaya syarikat-syarikat tersebut lebih berdaya maju hingga ke peringkat global.

''Kita tidak melupakan syarikat-syarikat kecil ICT bumiputera. Kita akan bantu mereka membangunkan syarikat-syarikat mereka dan ini jugalah antara tujuan inisiatif PUsh diwujudkan,'' katanya.

Perdana Menteri berkata, inisiatif Push bukan sahaja akan membantu meningkatkan lagi prestasi usahawan bumiputera dalam bidang ICT malah di dalam bidang multimedia serta industri kreatif.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, kerajaan amat komited untuk membangunkan industri ICT dalam kalangan usahawan bumiputera kerana potensinya yang begitu besar.

''Sebab itu dalam pengumuman Belanjawan 2013 baru-baru ini, saya telah mengumumkan penubuhan Yayasan Usahawan baru yang berperanan membantu usahawan dalam bidang ICT.

''Kerajaan juga telah memperuntukkan dana awal sebanyak RM50 juta kepada yayasan ini juga melalui peruntukan di bawah Belanjawan 2013, untuk menjadi landasan bagi program latihan dan bimbingan usahawan ICT bumiputera di negara ini,'' katanya lagi.

Najib dalam ucapannya mengakui dalam perkembangan yang begitu menggalakkan di dalam bidang ICT sama ada di peringkat global atau tempatan, jelas sekali peranan bumiputera dalam sektor itu amat kritikal.

"(Sungguhpun begitu) saya yakin, tidak lama lagi kita boleh melihat gergasi bumiputera dalam bidang ICT setanding dengan Apple dan Microsoft atau pun yang berjaya dicapai oleh usahawan talian seperti Amazon dan Facebook.

''Segala-galanya sememangnya mungkin dengan dorongan atau PUsh yang sesuai,'' ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment