My Add

Thursday 8 November 2012

Komitmen negara guna lampu mesra alam dipuji

PULAU PINANG, RABU, 07 November, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengiktiraf pencapaian negara ini dalam menyokong kemajuan penciptaan lampu yang tidak mendatangkan pencemaran.

Menurut Perdana Menteri, kejayaan itu menjadikan Malaysia sebagai satu-satunya negara dalam kalangan anggota ASEAN dan salah satu negara di rantau Asia yang menerima pengiktirafan sedemikian.

Bagi menunjukkan komitmen terhadap tenaga hijau katanya, kerajaan telah mengharamkan penggunaan lampu mentol yang membazir di samping secara beransur-ansur akan memberhentikan pengeluaran mentol pijar dalam tempoh dua tahun lagi.

“Ini bagi memastikan rakyat beralih kepada tenaga hijau dan disokong oleh kerajaan yang turut memperkenalkan insentif fiskal kepada syarikat yang menghasilkan produk lampu efisien.

“Selain itu bagi syarikat-syarikat yang membeli dan menggunakan produk berkenaan, kerajaan turut memberikan insentif dalam bentuk cukai," katanya dalam ucapan perasmian kilang kedua Philips Lumileds di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Redza Rafiq dan Ketua Pegawai Eksekutif Philips Lumileds, Frans Van Houten.

Kilang berkenaan merupakan yang kedua dibuka di negeri ini dan menawarkan 2,300 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan selepas pembukaan kilang pertamanya 12 tahun lalu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment