My Add

Friday 16 November 2012

Rafizi perlu beri penjelasan

Oleh SOFIAN BAHAROM
 KUALA LUMPUR, KHAMIS, 15 November, 2012: Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli didesak memberikan penjelasan berhubung tindakannya melengahkan proses mahkamah tentang dakwaan mencabuli Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia) yang dikenakan terhadapnya.

Timbalan Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Dr. Roselina Ahmad Saufi berkata, Rafizi perlu berbuat demikian sekiranya beliau seorang pemimpin yang mempunyai integriti dalam memperjuangkan ketelusan pentadbiran negara.

"Jika benar Rafizi mempunyai integriti, pasti beliau akan melicinkan kes Bafia yang dihadapinya itu sama seperti ketika mendesak kes National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp) sebelum ini.

"Jangan tidak adil dan pilih bulu, ini melibatkan profesionalisme beliau sebagai pemimpin masyarakat. Rakyat berhak mendapat penerangan ini dan Rafizi tidak boleh berlengah lagi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah yang hairan dengan tindakan Rafizi melengahkan kes dihadapinya itu sedangkan beliau sebelum ini pernah mendesak semua pihak mengambil tindakan segera dalam kes NFCorp.

Jelas Roselina, sudah menjadi kewajipan setiap pemimpin untuk menggalas tanggungjawab dalam memberi penjelasan lengkap kepada umum sekiranya mereka melakukan sesuatu yang dapat menimbulkan kecurigaan terhadap pertimbangan rakyat.

Kata beliau, pemimpin perlu berani dalam menegakkan kebenaran sekiranya mereka yakin berada pada landasan yang betul.

"Sikap berlengah-lengah ini memberi impak kepada persepsi masyarakat. Rafizi tiada alasan lagi untuk melengah-lengahkan kes yang dihadapinya itu dan rakyat menanti-nantikan penjelasan pemimpin pembangkang ini," ujarnya.

Dalam pada itu, bekas Felo Pusat Perundingan dan Latihan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Mohd. Roslan Mohd. Saludin berkata, tindakan Rafizi sejak kebelakangan ini boleh disifatkan sebagai 'cakap tidak serupa bikin'.

Kata beliau, Pengarah Strategik PKR itu hanya menjuarai isu yang mungkin memberi manfaat politik kepada beliau dan parti diwakilinya, bukan yang mempunyai kepentingan terhadap rakyat dan negara ini.

Mohd. Roslan melihat Rafizi sebagai seorang pemimpin yang gemar mengambil kesempatan terhadap suasana semasa dan bersikap dwi standard dalam kebanyakan kerja-kerja politik demi mengangkat kariernya semata-mata.

"Rakyat mempersoal kematangan ahli politik sebegini. Adakah dia boleh memimpin kerajaan? Kononnya mereka menjuarai keadilan masyarakat namun kalau diberi peluang memerintah negara, nescaya tidak akan berlaku adil," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment