My Add

Tuesday 20 November 2012

Sasar dagangan RM300b
 
*NAJIB Tun Razak (dua dari kanan) dan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama (lima dari kiri) pada sesi bergambar bersama pemimpin ASEAN (dari kiri) Presiden Filipina, Benigno Aquino; Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong; Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra; Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Tan Dung; Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen; Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono; Perdana Menteri Laos, Thongsing Thammavong dan Presiden Myanmar, Thein Sein (kanan) pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-21 dan sidang berkaitan di Phnom Penh, Kemboja, semalam. - AFP

Oleh Marhaini Kamaruddin

PHNOM PENH, Kemboja, ISNIN, 19 November, 2012: Malaysia dan China sedang menyiapkan Pelan Kerjasama Ekonomi Lima Tahun bertujuan meningkatkan hubungan kerjasama kedua-dua negara ke suatu tahap yang lebih kukuh, bukan sahaja meliputi bidang ekonomi dan perdagangan bahkan aspek politik dan keselamatan.

Dalam pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan rakan sejawatannya, Wen Jiabao atas permintaan Perdana Menteri China itu di Hotel Intercontinental di sini malam tadi, kedua-dua pemimpin berbincang secara meluas mengenai pelan 2013-2017 itu yang bakal melonjakkan jumlah dagangan dua hala mencecah AS$100 bilion (RM300 bilion).

Najib memberitahu penggunaan matawang tempatan oleh kedua-dua negara akan memperluaskan hubungan dagangan dua hala itu.

“Kedua-dua negara berpuas hati dengan tahap hubungan yang cukup akrab termasuk kerjasama ekonomi yang sedia terjalin dan sedang bekerja rapat merealisasikan pelan lima tahun ini yang skopnya meliputi bidang pertanian, infrastruktur, perkilangan, pembuatan dan pelaburan serta pembukaan taman industri.

“Draf pelan ini akan dikemukakan kepada kerajaan Malaysia oleh China dalam masa terdekat," kata Najib pada sidang akhbar ringkas di Hotel Phnom Penh di sini hari ini, di tengah-tengah Sidang Kemuncak ASEAN Ke-21 dan sidang-sidang berkaitan.

Buat masa ini, China adalah rakan dagang terbesar Malaysia sejak 2009 dengan jumlah dagangan mencapai AS$54.53 bilion pada 2011 iaitu 13.2 peratus daripada keseluruhan nilai dagangan negara. China juga merupakan pasaran eksport dan sumber import terbesar Malaysia.

Bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, nilai dagangan dua hala meningkat 10.5 peratus kepada AS$38.16 bilion berbanding tempoh sama tahun 2011.

Terdahulu, Perdana Menteri dan isteri memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Raja Norodom Sihanouk yang meninggal dunia 15 Oktober lalu di Royal Palace di sini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment