My Add

Wednesday 21 November 2012

Selangor kemuka kertas putih isu Talam, air

Khalid Ibrahim
NIZAM ZAIN
SHAH ALAM, SELASA, 20 November, 2012: Kerajaan Negeri hari ini mengemukakan kertas putih yang melibatkan kutipan hutang Talam Corporation Berhad dan laporan status penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, langkah itu merupakan sejarah kerana kali pertama dalam Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat membentangkan dua kertas kerja secara terperinci untuk diteliti dan dan difahami rakyat Selangor.

“Kertas putih itu disertakan bersama laporan audit yang disediakan oleh KPMG yang telah membuat kesimpulan bahawa tindakan kerajaan negeri mengutip hutang Talam merupakan keputusan komersial yang bijak,” katanya kepada pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, kertas putih itu menjelaskan fakta bagaimana wujudnya hutang tersebut, kaedah pelunasan hutang kepada Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dan sebab musabab kutipan itu perlu dilakukan.

Selain itu katanya, lokasi aset Talam turut didedahkan secara terperinci yang dijual untuk mendapatkan semula hutang-hutang ini, nilai aset dan mengapa terdapat perbezan nilai seperti yang didakwa Barisan Nasional (BN).

“Kita amat yakin kertas putih Talam ini mampu memberi seluruh gambaran tentang isu ini dan rakyat akan mendapati bahawa usaha Kerajaan Negeri dilakukan secara telus, jujur dan bertanggungjawab.

“Justeru, kita tidak akan melayan lagi dakwaan-dakwaan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau menambah, laporan penuh KPMG dan dokumen berkaitan kutipan hutang telah diserahkan kepada Pejabat Dewan Negeri Selangor bagi membolehkan orang ramai menyemaknya tertakluk kepada prosedur di bawah Akta Kebebasan Maklumat (FOI).

Kertas putih ini boleh dimuat turun di laman web rasmi Kerajaan Negeri dan Media Selangorku bermula esok.

Dalam pada itu katanya, laporan status Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air pula menjelaskan komitmen Kerajaan Negeri sejak 2008 untuk mengambil alih daripada syarikat konsesi bagi memastikan pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mendapat perkhidmatan air yang cekap pada kadar tarif yang munasabah.

“Kita turut sertakan semua surat-menyurat di antara Kerajaan Negeri dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air sejak 23 Januari 2009 berkenaan usaha pengambilalihan pengurusan air yang oleh Kerajaan Negeri selama ini,” katanya.

Mengulas lanjut tawaran pengambilalihan pengurusan air tersebut daripada beberepa syarikat konsesi air terlibat melibatkan RM9.2 bilion, namun tawaran itu masih tidak diterima oleh pihak terbabit.

Bagaimanapun katanya, Kerajaan Persekutuan jelas tidak berminat untuk menjaga kebajikan rakyat, sebaliknya lebih mengutamakan syarikat konsesi yang sudah terbukti adalah kroni Umno-Barisan Nasional (BN).

Skim Pelunasan Hutang Talam telah dibincang dan diluluskan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 2 November 2009 dan pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor 16 November 2009.

Industri perkhidmatan air pula dijalankan secara tidak holistik yang mana rawatan dan agihan dikendalikan pihak yang berlainan melibatkan empat konsesi iaitu Puncak Niaga Sdn Bhd, Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd dan Konsortium ABASS Sdn Bhd yang mengendalikan rawatan manakala agihan pula dikendalikan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas). - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment