My Add

Wednesday 14 November 2012

Taman perindustrian rapatkan Malaysia-China

MELBOURNE, SELASA, 13 November, 01: Taman perindustrian yang sedang diwujudkan di Kuantan dan Qinzhou dijangka merapatkan hubungan antara Malaysia dan China ke tahap lebih tinggi, demikian Forum Ekonomi China Dunia (WCEF) keempat diberitahu hari ini.

Kedua-dua Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) dan taman berkembarnya Taman Perindustrian Qinzhou (QIP) mencerminkan satu mercu tanda utama hubungan ekonomi yang kukuh dan perdagangan antara kedua-dua negara," kata Ketua Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Pantai Timur (ECERDC), Datuk Jebasingam Issace John.

Katanya, kedua-dua taman itu dibangunkan mengikut prinsip yang dipandu kerajaan serta dipacu sektor swasta, iaitu satu model yang menggalakkan kerjasama pelaburan yang saling memberi manfaat.

Jebasingam berkata, MCKIP akan menyediakan satu peluang perniagaan bagi perdagangan dan pelaburan bagi China, ASEAN dan negara lain termasuk Australia.

Katanya, MCKIP berada pada kedudukan strategik berhadapan Laut China Selatan, yang menjadikannya satu gerbang ideal ke rantau Asia Pasifik yang luas dengan kombinasi penduduk kira-kira 4.0 bilion orang dan KDNK AS$17 trilion.

"MCKIP berdekatan Pelabuhan Kuantan, yang ditransformasikan menjadi pelabuhan air dalam 18 meter, yang dapat menampung kapal sehingga 200,000 DWT," kata Jebasingam.

Katanya, tempoh belayar antara Kuantan dan Qinzhou memakan masa selama tiga hari, manakala perjalanan udara hanya memakan masa tiga jam.

Industri yang disasarkan di MCKIP termasuk pembuatan peralatan bagi plastik dan logam, komponen automotif, serat karbon. produk elektronik dan teknologi maklumat dan komunikasi.

"Kerja awal tanah bagi MCKIP bermula pada September dan kami menerima banyak pertanyaan dari perbadanan dan pemain antarabangsa yang besar mengenai taman peridustrian itu," kata Jebasingam.

Beliau berkata, pakej insentif khas sedang dirangka bagi para pelabur. - BERNAMA - UTUSAN

No comments:

Post a Comment