My Add

Sunday 4 November 2012

Tingkatkan Indeks Kesejahteraan

*NAJIB Tun Razak bersalaman dengan orang ramai yang menghadiri Majlis Pelancaran Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia di Dataran Pekan, Pahang, semalam. Turut hadir, Rosmah Mansor, Adnan Yaakob dan Heng Seai Kie. - MINGGUAN/MAHATHIR ALI
Oleh HERMAN HAMID dan MOHAMAD SHOFI MAT ISA
PEKAN, SABTU, 03 November, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak mahu semua pihak bersama-sama meningkatkan Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia ke tahap cemerlang dalam usaha melahirkan sebuah negara sejahtera.

Perdana Menteri berkata, data Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menunjukkan tahap Indeks Kesejahteraan Keluarga Negara kini berada di paras 7.55 daripada skala 10.

"Maknanya, belum dapat A lagi, baru dapat B+, jadi masih ada ruang untuk ditingkatkan lagi.

"Dengan harapan pada masa akan datang indeks ini akan menghampiri skala 10," katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia di Dataran Pekan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Heng Seai Kie.

Najib yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, menjadi tanggungjawab kerajaan menentukan hala tuju atau memilih model paling sesuai yang akan diperjuangkan demi kesejahteraan negara.

"Kita ada model konvensional yang menggunakan kriteria pendapatan perkapita, tetapi saya berpendapat, kalau model kita satu dimensi sahaja, ia tidak tepat dan komprehensif.

"Cuba bayangkan kita mempunyai banyak harta tetapi berbalah berebut harta antara keluarga dan perlu naik turun mahkamah untuk selesaikan perbalahan.

"Bererti bahawa, kalau kita jutawan, banyak wang, ada rumah dan kereta besar tak semestinya kita bahagia, oleh itu kita perlu Indeks Kesejahteraan dan salah satu komponennya adalah keluarga bahagia," katanya.

Najib berkata, dalam usaha memperkukuhkan institusi keluarga, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah antaranya mengumumkan bulan November sebagai Bulan Keluarga.

Kerajaan juga katanya, telah memperkenalkan Dasar Keluarga Negara, cuti bersalin untuk isteri dan suami, subsidi penjagaan anak kakitangan awam, taska di tempat kerja dan Dasar Rumah Pertamaku.

Sebagai komitmen berterusan, tambah beliau, Bulan Keluarga Kebangsaan akan disambut setiap tahun dan setiap majikan digalakkan mengadakan sambutan itu dengan sektor swasta dan awam akan memberi pengecualian cukai bagi tujuan tersebut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment