Umat Islam prihatin mangsa perang
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 22 November, 2012; Keprihatinan umat Islam terhadap mangsa peperangan sebenarnya bukan hanya terhad kepada saudara seagama tetapi agama lain yang menerima nasib serupa.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, dakwaan bahawa masyarakat Islam hanya bersimpati kepada mangsa dalam kalangan umatnya sahaja adalah tidak benar.
Jelasnya, apa jua isu kemanusiaan sama ada melibatkan umat Islam mahupun bukan Islam akan terus diberi perhatian.
"Masyarakat Islam tidak pernah memilih dalam soal simpati. Mungkin umat Islam dilihat lebih bersimpati dengan mangsa beragama Islam kerana pada masa ini kebanyakan mangsa peperangan yang ditindas dan dibunuh adalah saudara seagamanya sendiri.
"Jika mengimbas sejarah lalu, masyarakat Islam juga pernah menentang keras pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan ke atas Orang Asli di Australia dan kaum Red Indian (Amerika Syarikat) walaupun mereka bukan beragama Islam," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Persidangan Antarabangsa Mengenai Isu Kanak-Kanak Menjadi Mangsa Peperangan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Persidangan selama empat hari bermula Isnin lalu itu dianjurkan Yayasan Menjenayahkan Perang Kuala Lumpur (KLFCW) dan dihadiri kira-kira 400 peserta.
Dr. Mahathir yang juga pengasas dan pengerusi KLFCW menarik perhatian, persoalan seharusnya ditujukan kepada negara-negara kuasa besar bahawa mengapa mereka berterusan menjadikan umat Islam sebagai mangsa peperangan.
Sementara itu, mengulas gencatan senjata di antara Israel dan Hamas yang sudah tercapai secara rasmi, beliau berkata, tiada jaminan peperangan itu tidak akan berlaku selepas ini.
"Gencatan baru hendak dilakukan setelah mereka (Israel) membunuh ramai penduduk Gaza. Tiada jaminan peperangan tidak akan berulang selagi kuasa besar berada di belakang Israel," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment