My Add

Friday, 23 November 2012

Luahkan rasa kecewa terhadap Israel

*HISHAMMUDDIN Tun Hussein bersama Ismail Omar (dua dari kanan) melancarkan Tabung Kecemasan Gaza pada Majlis Gelombang Keamanan Sejagat: 1KDN Semarakkan Kedamaian di Putrajaya, semalam.

Oleh THOMAS CHONG
PUTRAJAYA, KHAMIS, 22 November, 2012: Rakyat perlu diberi peluang untuk menyuarakan kesedihan dan kemarahan mereka terhadap serangan Israel ke atas Gaza yang menyebabkan ratusan penduduk Palestin termasuk kanak-kanak terkorban dan cedera.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, peluang meluahkan kekecewaan itu perlu bagi mengelak perasaan marah terhadap Israel menular kepada tindakan yang lebih ganas.

''Jika kita tidak ada ruang untuk suarakan rasa kesedihan, tidak mustahil tindakan lebih ganas akan diambil termasuk oleh kumpulan militan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Gelombang Keamanan Sejagat: 1KDN Semarakkan Kedamaian, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi; Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, pemimpin tertinggi kementerian dan ketua-ketua pengarah agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Selari dengan Gelombang Keamanan Sejagat tersebut, Hishammuddin turut melancarkan Tabung Kecemasan Gaza peringkat kementerian dan tabung itu berjaya mengumpul lebih RM126,000 pada hari pertama pelancarannya.

Hasil kutipan tabung tersebut akan disumbangkan kepada Yayasan Keamanan Global Perdana Malaysia (PGPF) yang dinaungi bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, tekanan terhadap Israel perlu diteruskan walaupun gencatan senjata telah dicapai dengan Gaza.

''Jika gencatan senjata ini tidak berjaya, Israel mungkin melakukan serangan darat yang akan menyebabkan lebih ramai warga Gaza termasuk kanak-kanak terkorban.

''Jadi kempen gelombang keamanan untuk Gaza mesti diteruskan. Saya meminta timbalan saya, Datuk Lee Chee Leong untuk menyelaras aktiviti di bawahnya," katanya.

Mengenai Tabung Kecemasan Gaza pula, Hishammuddin berkata, kempen mengutip derma akan diselaraskan oleh seorang lagi Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop

''Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) sahaja mempunyai tiga juta ahli. Kalau setiap seorang menderma RM1, maka kita sudah boleh mengutip RM3 juta," katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO berkata, isu penindasan Israel terhadap Gaza dijangka dibahas dalam Perhimpunan Agung UMNO yang bermula akhir bulan ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment