My Add

Wednesday, 2 January 2013

60 maut rempuhan di Ivory Coast

*SEORANG anggota tentera memerhatikan pakaian dan barangan peribadi yang bertaburan di atas jalan selepas satu insiden rempuhan tercetus semasa sambutan Tahun Baharu 2013 di sebuah stadium di Abidjan, Ivory Coast, semalam. - AFP

ABIDJAN, SELASA, 01 Januari, 2013: Sekurang-kurangnya 60 orang maut dan 200 yang lain cedera dalam insiden rempuhan berhampiran pintu masuk stadium utama ibu negara ini, ketika mereka mahu menyaksikan pertunjukan bunga api sempena ambang tahun baharu, malam tadi.

Ketua pasukan penyelamat tentera, Leftenan Kolonel Issa Sako berkata, jumlah itu adalah berdasarkan anggaran awal pasukan, namun sumber lain pegawai menyelamat memberitahu AFP, sebanyak 61 orang maut dan 48 lagi cedera.

Katanya, mereka yang cedera dibawa ke hospital di Abidjan bagi mendapatkan rawatan.

Wartawan AFP yang berada di lokasi kejadian berkata, kebanyakan mangsa yang cedera adalah kanak-kanak.

Sako berkata, insiden berlaku apabila orang ramai bersesak-sesak di pintu masuk Stadium Felix Houphouet Boigny bagi menyaksikan bunga api.

"Kebanyakan mangsa mati akibat dipijak dan lemas,'' katanya.

Imej yang disiarkan saluran televisyen RTI, menunjukkan mayat-mayat mangsa terbaring di atas tanah.

Malah, longgokan kasut dan pakaian juga dapat dilihat di lokasi kejadian ketika tentera dan polis dikerah mengawal keadaan. - AFP

No comments:

Post a Comment