My Add

Friday 11 January 2013

8 keberhasilan pendidikan

Oleh HASHNAN ABDULLAH

PUTRAJAYA, KHAMIS, 10 Januari, 2013: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebanyak lapan keberhasilan dalam bidang pendidikan perlu dicapai oleh Kementerian Pelajaran tahun ini.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, penetapan tersebut sejajar dengan usaha untuk menunjukkan kejayaan inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Sasaran tersebut ialah mengurangkan 50 peratus sekolah Band enam dan Band tujuh di Kedah dan Sabah; 100 peratus guru opsyen bahasa Inggeris lulus satu tahap penguasaan lebih tinggi dalam Cambridge Placement Test (CPT); 88 peratus enrolmen pra sekolah iaitu meningkat daripada 77 peratus pada 2011 dan 10 sekolah International Baccalaureate (IB) baharu dan 18 buah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) diwujudkan.

''Selain itu, 100 peratus literasi bahasa Malaysia dan numerasi bagi Tahun Tiga di samping peningkatan ketara dalam literasi bahasa Inggeris; 100 peratus sekolah bandar dilengkapi dengan 4G; 410,000 guru dinilai melalui 'instrumen bersepadu' dan 1,608 buah sekolah yang memerlukan pembaikan kritikal dibaiki," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Perutusan Tahun Baru Kementerian Pelajaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Ir. Wee Ka Siong dan Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

Muhyiddin berkata, bagi memantapkan pelaksanaan semua inisiatif di bawah PPPM itu, Unit Prestasi dan Penyampaian Pendidikan (Padu) akan diwujudkan dengan restu Perdana Menteri.

''Padu akan membantu menyelesaikan situasi bermasalah di peringkat bawah dan mengambil tindakan pembetulan untuk mengatasi masalah yang boleh menjejaskan prestasi," katanya.

Padu merupakan sebuah entiti yang menyuntik sumber kewangan untuk melaksanakan inisiatif PPPM dan juga bertindak sebagai badan yang menyediakan sokongan untuk penglibatan rakan kongsi dalaman.

Beliau berkata, berdasarkan beban tugas dan tanggungjawab besar itu, anggota Padu akan dianggotai oleh mereka yang berbakat serta berprestasi tinggi.

''Kementerian akan mengenalpasti pegawai sedia ada dan pegawai dari luar kementerian untuk menganggotai Padu," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment