My Add

Friday 11 January 2013

TPM: Laksana 4 inisiatif PPPM dalam 100 hari

PUTRAJAYA, KHAMIS, 10 Januari, 2013: Kementerian Pelajaran akan melaksanakan empat inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) dalam tempoh 100 hari, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata, ketetapan itu perlu ekoran awal tahun ini adalah tempoh kritikal kepada kementerian untuk melaksanakan PPPM.

Beliau berkata, sasaran itu juga penting agar hasrat untuk mencapai lima aspirasi sistem pendidikan dan enam aspirasi murid dapat dicapai menjelang 2025 nanti.

''Inisiatif itu ialah memperkenalkan 'School Improvement Specialist Coaches' (SISC) plus dan 'School Improvement Partners' (SiPartners) plus di Kedah serta Sabah dan menilai 70,000 guru opsyen bahasa Inggeris melalui Cambridge Placement Test (CPT).

''Kita juga akan melancarkan modul Sarana Ibu Bapa ke 10,000 buah sekolah dan melancarkan video e-Guru untuk ditonton di semua sekolah," katanya ketika berucap menyampaikan Perutusan Tahun Baru Kementerian Pelajaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Ir. Wee Ka Siong dan Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

Mengulas lanjut empat inisiatif itu, Muhyiddin berkata, SISC dan SiPartner itu akan membimbing guru bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Matematik terutama di sekolah yang berada dalam Band 5,6 dan 7 di Kedah dan Sabah.

''Mereka juga akan menerima latihan berkaitan dengan kurikulum, pentaksiran berasaskan sekolah dan lebih penting ialah pengajaran bagi meningkatkan kemahiran guru melaksanakan kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan murid," katanya.

Bagi inisiatif kedua, beliau berkata, untuk guru-guru yang tidak mencapai tahap kemahiran yang ditetapkan, latihan tambahan separuh masa akan diberikan.

Katanya, dalam tempoh 100 hari itu, kementerian bersedia melatih 5,000 guru bahasa Inggeris.

''Pelancaran inisiatif ketiga tersebut ialah untuk meningkatkan kesedaran, sokongan dan kerjasama dalam kalangan ibu bapa," katanya.

Beliau berkata, melalui inisiatif keempat pula, kementerian akan memperkenalkan program pembangunan profesionalisme baharu dengan mewujudkan perpustakaan video e-Guru yang menyediakan koleksi contoh pengajaran terbaik pada bulan ini.

''Dengan inisiatif itu, setiap guru akan mendapatkan gambaran bersifat amali tentang amalan pengajaran yang dilaksanakan oleh guru cemerlang di bilik darjah,"katanya.

Di samping itu, Muhyiddin berkata, kementerian itu tidak mengetepikan inisiatif PPPM lain yang seharusnya dicapai dalam gelombang pertama bagi tahun ini khusus untuk meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi (HOTS) dalam kalangan murid. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment