My Add

Thursday 17 January 2013

BN salur RM475,200 insentif 2,376 pelajar cemerlang PMR

GEORGETOWN, KHAMIS, 17 Januari, 2013: Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang akan memberi insentif wang tunai berjumlah RM475,200 kepada 2,376 pelajar cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2012 di seluruh negeri mulai Sabtu ini.

Pengerusi Program Insentif PMR Pulau Pinang, Koh Wan Leong berkata, pemberian wang tunai itu sebagai insentif kepada pelajar mengekalkan pencapaian baik pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kelak.

“Majlis penyampaian hadiah insentif akan diadakan pada 19 hingga 31 Januari di lokasi terpilih dan surat jemputan telah diedar kepada pelajar berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata daripada jumlah penerima itu, 2,335 pelajar adalah mereka yang mendapat A dalam semua mata pelajaran yang diambil dan selebihnya adalah pelajar kelainan upaya (OKU) dan pelajar sekolah persendirian yang memperoleh 6A dan ke atas.

Wan Leong yang juga Penyelaras Barisan Nasional (BN) Paya Terubong berkata setiap pelajar akan menerima cek RM200 dan sijil penghargaan daripada BN Pulau Pinang.

Menurutnya, BN negeri merancang memperluaskan program insentif itu kepada pelajar cemerlang lepasan SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada masa depan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment