My Add

Tuesday 22 January 2013

Edar Bible: Polis terima 7 laporan

PULAU PINANG, ISNIN, 21 Januari, 2013: Polis Pulau Pinang mengesahkan menerima tujuh laporan berhubung kejadian pengedaran Bible kepada pelajar di negeri ini baru-baru ini.

Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, laporan itu diterima sejak hari kejadian di beberapa buah balai polis di sekitar negeri ini.

"Sehubungan itu, kita akan mempercepatkan siasatan berhubung kes ini. Bagaimanapun belum ada sebarang tangkapan dibuat setakat ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Khamis lalu, Persatuan Muka Buku Pulau Pinang (PMBPP) membuat laporan polis apabila ahlinya mengesan tindakan dua lelaki mengedar Bible di hadapan sebuah sekolah menengah di Jelutong dekat sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Menurut PMBPP, pengedaran itu juga dilakukan terhadap pelajar Melayu sekolah berkenaan sehingga menyebabkan pihaknya terpaksa membuat laporan polis.

Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata, pihaknya akan menyerahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya berhubung kes itu apabila kertas siasatan lengkap.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut meminta pihak polis melakukan siasatan segera berhubung kejadian itu.

Exco Kerajaan DAP Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Kasim pula memberitahu, pihaknya hanya akan membuat siasatan sekiranya ada laporan membabitkan kes itu kepada Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Pulau Pinang. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment