My Add

Wednesday 9 January 2013

Keanggotaan Pengerusi Felda dalam KPF terbatal

KUALA LUMPUR, RABU, 09 Januari, 2013: Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) Kuala Lumpur hari ini memutuskan keanggotaan Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad sebagai ahli dalam Koperasi Permodalan Felda (M) Bhd. (KPF) sebagai tidak sah, batal dan tidak mempunyai kesan.

Hakim Datuk Zaleha Yusof membuat keputusan itu setelah berpuas hati bahawa keputusan dibuat oleh KPF yang memutuskan Mohd. Isa ahli koperasi itu, sebagai tidak teratur.

Beliau juga membenarkan permohonan empat peneroka Felda Jengka 18, Pahang untuk mengarahkan responden ketiga membatalkan keanggotaan Mohd. Isa sebagai KPF.

Dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan pada 12 Jun lalu, Abdul Talib Ali, Abdul Mubin Abdul Rahman, Abdul Razak Mohammad dan Muhamad Noor Atan selaku pemohon menamakan panel Pertikaian Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan KPF sebagai responden pertama hingga ketiga.

Pemohon antaranya memohon perintah perisytiharan, ketetapan responden pertama dan kedua bertarikh 23 Mei lalu yang memutuskan Mohd. Isa sebagai ahli KPF adalah kekal sebagai tidak sah, terbatal dan tidak mempunyai sebarang kesan.

Mereka juga memohon perintah bagi membatalkan keputusan tersebut dan perintah mandamus bagi mengarahkan responden ketiga membatalkan keanggotaan Mohd. Isa sebagai ahli responden ketiga.

Selain itu, pemohon memohon perintah penggantungan interim (sementara) bagi menggantung status keanggotaan dan juga pemilihan Mohd. Isa sebagai ahli lembaga atau pengerusi responden ketiga. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment