My Add

Saturday 26 January 2013

Keyakinan, transformasi pulihkan Malaysia

DAVOS, JUMAAT, 25 Januari, 2013: Malaysia mampu pulih daripada dilanda krisis ekonomi sebelum ini kerana mempunyai rakyat berkeyakinan tinggi serta pelaksanaan pelbagai dasar ekonomi dan program transformasi yang komprehensif.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pelaksanaan pelbagai program ekonomi baharu itu telah berjaya meningkatkan pelaburan dalam sektor swasta, yang seterusnya menambah peluang pekerjaan di pasaran.

"Hasilnya, dalam masa beberapa tahun sahaja, kami telah berjaya mencipta lebih daripada 300,000 pekerjaan baharu yang ditawarkan oleh sektor swasta," katanya.

Beliau berkata, peningkatan besar pelaburan di sektor swasta juga membolehkan kadar pengangguran di Malaysia kini berada dalam sekitar 3.1 peratus, yang boleh dianggap sebagai status 'semua rakyat bekerja.'

Najib berkata demikian ketika menjadi salah seorang ahli panel dalam perbincangan bertajuk 'Kemelesetan ekonomi dan risikonya' anjuran televisyen Al-Jazeera sempena Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di sini, hari ini.

Perbincangan yang disiarkan secara langsung di internet itu juga disertai oleh beberapa pemimpin negara lain seperti Presiden Iceland, Olafur Ragnar Grimsson; Timbalan Perdana Menteri untuk Hal Ehwal Ekonomi dan Kewangan Turki, Ali Babacan serta ahli perniagaan dan tokoh akademik antarabangsa.

Najib juga berkata, perlaksanaan dasar-dasar mesra perniagaan termasuk sistem pendidikan yang mampu memenuhi kehendak sektor itu juga membawa perubahan besar kepada kemajuan negara.

"Kami memberikan pelbagai insentif agar sektor swasta turut terlibat dalam sistem latihan dan pendidikan negara," katanya.

Menyentuh mengenai semangat rakyat Malaysia, beliau berkata, pegangan semangat 'Malaysia Boleh' menjadi antara faktor penting yang mempercepatkan proses pemulihan negara mengikut acuan tersendiri.

Katanya, sebagai contoh, ketika dilanda krisis kewangan Asia sebelum ini, Malaysia tidak mahu mengikut kaedah pemulihan yang dicadangkan oleh Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) kerana mempunyai kesan sosial dan politik kepada negara.

"Kami tidak mengikut cadangan IMF itu dan melaksanakan kaedah pemulihan tersendiri yang akhirnya terbukti berkesan," tambahnya.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Maximus Ongkili turut berkongsi maklumat mengenai program inovasi Malaysia yang telah membawa kejayaan kepada pembangunan negara.

Selain menjadi ahli panel perbincangan bersama Al-Jazeera itu, Perdana Menteri juga akan diwawancara Fareed Zakaria dari Cable News Network (CNN) lewat hari ini mengenai pencapaian ekonomi negara.

Najib juga akan mengunjungi Presiden Swiss Confederation, Ueli Maurer, menghadiri sesi dengan rakan-rakan sejawatan dan negara-negara anggota ASEAN serta mengadakan pertemuan dua hala dengan ahli-ahli perniagaan dunia.

Kemuncak acara hari ini ialah Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada Malam Malaysia yang akan menampilkan pencapaian dan keunikan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan dan pelancongan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment